Rencana

Muhasabah di bulan Ramadan, hentikan fitnah lagakan agama

Ramadan 1440 Hijrah tahun ini merupakan tahun kedua puasa disambut oleh umat Islam di Malaysia selepas Pakatan Harapan mentadbir negara. Sepanjang Ramadan tahun lalu, umat Islam di negara ini bukan sahaja bebas melaksanakan tuntutan ibadah, malah pelbagai acara dan amalan agama dipertingkatkan.

Masjid-masjid dan surau-surau dipenuhi dengan ibadah solat lima waktu, solat sunat Tarawih, syarahan-syarahan agama, majlis tadarus dan tadabbur Al-Quran, majlis berbuka puasa dan sebagainya. Umat Islam aman dan damai hidup di Malaysia. Malah hidup harmoni Bersama kaum-kaum bukan Islam.

Ahli-ahli Parlimen dan ADUN-ADUN dari DAP dan Pakatan Harapan juga acapkali dijemput bagi menghadiri majlis berbuka puasa bersama kariah di kawasan masing-masing. Majlis berbuka puasa dan sahur turut ditaja oleh wakil rakyat DAP yang beragama Islam dan yang beragama lain. DAP sentiasa menjunjung dan menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun tetap ada anasir busuk hati yang menabur fitnah. Pada hari pertama Ramadan, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mokhtar Senik, yang dijunjung sebagai ulama oleh parti itu telah memuntahkan fitnah yang keji.

Menurut laporan media, beliau dipetik sebagai menulis dalam akaun Facebook, iaitu “Terkenang saudara seagama di Uighur China. Mereka dilarang berpuasa dan mengamalkan amalan agama mereka. Moga saudara saya di Malaysia mengambil iktibar. Begitulah nasib kita jika negara ini diserahkan kuasa politik kepada orang-orang kafir. Tak kira apa jenis kafir mereka itu.”

Fitnah ini ditabur oleh seorang pemimpin tinggi PAS untuk membayangkan umat Islam di Malaysia akan senasib dengan masyarakat Muslim Uighur di China jika terus diperintah oleh Pakatan Harapan yang turut dianggotai oleh DAP.

Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih sejuta etnik Islam Uighur kini ditahan di sebuah kem berasingan dan dipaksa untuk meninggalkan Islam.

Yang menjadi isu di sini adalah: adakah di bawah pentadbiran Pakatan Harapan sudah ada berjuta-juta umat Islam di Malaysia ditahan di dalam kem tahanan? Adakah umat Islam dilarang berpuasa, solat, membaca Quran serta menunaikan ibadah lain?

Pemimpin PAS jenis ini amat hipokrit sikapnya. Contohnya, pada 14 Januari 2019 yang lalu, Datuk Dr Mujahid selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah diberikan taklimat oleh pemimpin-pemimpin dari World Uighur Congress dan Uighur American Association mengenai penindasan hak-hak asasi manusia yang berlaku terhadap masyarakat Muslim Uighur.

Bagaimanapun, pertemuan solidariti tersebut telah dikritik hebat oleh Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Perak, Jimmy Loh, yang menuduh DAP dan Pakatan Harapan campur tangan dalam isu negara China.

Saya ingin bertanya: di mana al-ustaz Mokhtar Senik pada masa itu? Mengapa diam membisu? Apakah pada masa itu beliau menyokong pandangan MCA berhubung isu umat Islam Uighur? Kenapa sekarang beliau mahu menjadi juara umat Islam Uighur? Atau dia tidak sedar bahawa kerajaan Pakatan Harapan prihatin dengan nasib umat Islam Uighur?

Bukti kerajaan PH martabat Islam

Bagi segelintir orang yang masih mengikut telunjuk manusia hipokrit ini, izinkan saya jelaskan usaha Pakatan Harapan untuk Islam. Belanjawan pertama kerajaan Pakatan Harapan pada 2019 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan yang juga merupakan Setiausaha Agung DAP, Saudara Lim Guan Eng telah memperuntukkan tambahan dana sebanyak RM100 juta bagi hal ehwal Islam, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.2 billion berbanding RM1.1 billion pada tahun 2018.

Kerajaan Pakatan Harapan juga telah menyalurkan peruntukan dana sebanyak RM17.8 billion kepada institusi kewangan umat Islam yang terbesar, iaitu Tabung Haji setelah penyelewengan-penyelewengan yang berlaku di zaman Barisan Nasional sebelum ini.

Kini kerajaan Pakatan Harapan mengembalikan urusan agama kepada mereka yang mahir dalam bidangnya, dan bukan lagi diuruskan oleh para perompak atau ahli politik penunggang agama. Malah Mufti Kerajaan Negeri Perak, Tan Seri Dr Harussani bin Haji Zakaria juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa kedudukan Islam terpelihara di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan.

Saya harap orang seperti ustaz Mokhtar Senik dapat bermuhasabah diri dan menghentikan fitnah untuk melaga-lagakan umat Islam dengan penganut agama lain. Tak perlu tunjuk lagak kononnya dia seorang sahaja yang hebat tentang Islam.  Bulan Ramadan sebaiknya diisi dengan amal kebaikan dan bukannya fitnah jahat. – Roketkini.com

*Howard Lee adalah Ketua DAPSY Kebangsaan, Adun Pasir Pinji dan Exco Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Negeri Perak