Berita

Dana Tabung Harapan diguna bayar sebahagian hutang 1MDB

Semua kutipan Tabung Harapan Malaysia (THM) berjumlah lebih RM203 juta akan digunakan untuk membayar sebahagian daripada hutang 1MDB, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Mesyuarat Jawatankuasa Akaun Amanah THM pada 24 April 2019 telah bersetuju memutuskan bahawa kesemua dana dalam THM ini akan digunakan bagi melunaskan sebahagian hutang 1MDB yang berjumlah RM1,704.78 juta bagi tahun 2019 ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih Putrajaya, gabungan itu mendapati kerajaan persekutuan menanggung hutang yang begitu besar berjumlah lebih RM1 trilion. PH bertekad untuk mengurangkan beban hutang tersebut.

Pada 30 Mei, kerajaan PH membuka THM bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk menyatakan solidariti kepada negara dengan menyumbang kepada tabung berkenaan bagi membayar beban hutang yang diwarisi kerajaan terdahulu.

Pada 7 Feb lalu Kementerian Kewangan memaklumkan baki akhir THM sehingga 14 Januari ialah sebanyak RM202,716,775.10.

Selepas dilakukan pelaburan ke atas dana tersebut, faedah yang diterima adalah sebanyak RM575,342.31, menjadikan jumlah terkini akaun amanah THM berjumlah RM203,292,117.41.

Meskipun dana THM tidak dapat membayar keseluruhan hutang 1MDB yang kini berjumlah RM51, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, kerajaan PH tetap berterima kasih atas “semangat taat setia dan patriotisme rakyat Malaysia”.

“Kerajaan dengan ini ingin sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat seluruh rakyat Malaysia yang telah memberikan sumbangan ke dalam THM ini,” ujarnya. – Roketkini.com