Rencana

Di sebalik perpaduwang UMNO-PAS

Belum terlewat untuk saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Sandakan. Dakwaan bahawa sokongan rakyat kepada PH semakin merosot adalah tidak benar dan keputusan ini adalah buktinya.

Pengundi-pengundi di Sandakan masih menyokong parti pemerintah Sabah yang dianggotai DAP serta diketuai oleh Parti Warisan Sabah dengan mendapat undi 11,531 berbanding 10,098 pada pilihan raya lepas.

Saya merasa terpanggil untuk mengucapkan tahniah kepada PAS biarpun calon yang didokongnya kalah dalam PRK. Dalam minggu ini juga, kita dikejutkan dengan siri pendedahan oleh pemimpin PAS sendiri mengenai barisan kepimpinan PAS yang sebelum ini menerima wang daripada UMNO secara senyap-senyap.

Ini memberikan gambaran yang lebih besar dalam mempersoalkan kesucian parti PAS seperti yang dilaungkan oleh pimpinan-pimpinan mereka. Secara ikhlas saya ucapkan tahniah kepada PAS kerana akhirnya mengaku ambil wang UMNO. Mungkin inilah titik permulaan PAS kembali ke pangkal jalan kebenaran setelah sekian lama terpesong.

Nama-nama pimpinan besar PAS yang dikaitkan dengan skandal ini sepatutnya memberikan penjelasan jujur dan amanah kepada penyokong-penyokong akar umbi PAS. Adakah benar mereka menerima wang? Sekiranya benar, berapakah jumlahnya? Ke mana pula wang tersebut dibelanjakan?

Pada bulan lepas juga bekas presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak memberitahu ahli PAS bahawa penyatuan PAS dan UMNO adalah hasil daripada usaha senyap-senyap oleh beliau dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Adakah benar UMNO dan PAS berkahwin atas dasar perpaduan ummah seperti yang dicanangkan atau sekadar perpaduwang politik?

PAS juga telah sekian lama memfitnah Pakatan Harapan dengan tuduhan liar seperti satu parti menjadi boneka atau suruhan parti yang lain. Namun hari ini telah terserlah kebenarannya, PAS hanya menyerang parti-parti Pakatan Harapan bagi pihak UMNO atas dasar khidmat mereka dibayar UMNO. Rakyat sendiri boleh menilai pihak mana yang jadi boneka kepada siapa.

PAS kini nampaknya menggunakan kuasa parti untuk menyekat rahsia buruk mereka daripada terdedah kepada umum. Perintah tutup mulut ekoran daripada pendedahan skandal ini juga membuktikan kejaguhan pimpinan PAS sebelum ini tidak mampu berdepan dengan penyokong-penyokong setia mereka di bawah yang mendambakan kebenaran. Maka jelas adanya usaha untuk menutup perkara yang benar demi nikmat wang ringgit dari parti kleptokrat seperti UMNO.

Sebagai pemimpin, kita seharusnya telus dan terbuka dalam membicarakan isu seperti ini. Perpaduan ummah ini tidak seharusnya dimonopoli oleh PAS dan UMNO atas dasar wang ringgit semata-mata, seperti mereka mewakili suara keseluruhan rakyat, malah seluruh umat Islam.

Pakatan Harapan tidak takut dan tidak ambil kisah tentang pilihan pasangan UMNO mahupun PAS. Demi rakyat dan negara, kami hanya mahu memberi nasihat kepada mereka supaya jangan sekali kali memberi gambaran palsu bahawa perikatan mereka yang keramat dan suci dari nista dan dosa. Akhirnya terserlah kebenaran, dan rakyat akan terus menilai mereka atas penipuan-penipuan berterusan ini.

Genap setahun yang lalu, rakyat telah bersatu padu menolak politik kleptokrat yang merompak negara demi kelangsungan kuasa dan tembolok sendiri. PRK Sandakan baru-baru ini juga memberikan mesej jelas, bahawa rakyat Malaysia akan terus bersatu padu menolak politik wang dan perkauman yang sempit seterusnya memberikan undi kepada Pakatan Harapan yang jelas memperjuangkan perpaduan rakyat secara keseluruhannya. – Roketkini.com

*Howard Lee Chuan How adalah Ketua DAPSY Kebangsaan dan Timbalan Ketua Pemuda Harapan Malaysia