Berita

Dakwaan peras ugut: DAP Pahang serah pada polis

DAP Pahang akan menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat dakwaan Pengerusi DAP Jerantut, Loo Why Leong mengugut Ketua Polis Daerah (OCPD) Jerantut, Mazlan Hassan.

Setiausahanya, Lee Chin Chen berkata, pihaknya juga akan membincangkan pengendalian isu tersebut dalam mesyuarat yang akan datang.

“Kami tidak dapat menghubungi Loo Why Leong dari petang semalam hingga kini.

“Mengikut kenyataan beliau sebelum ini, beliau menafikan tuduhan tentang penglibatannya dalam ugutan terhadap ketua polis daerah.

“Oleh itu DAP Pahang akan serah perkara ini kepada pihak polis untuk siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut berharap agar semua pihak tidak memberikan sebarang komen mengenai kes berkenaan sehingga siasatan selesai.

“Malaysia ialah negara yang menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang, seseorang tidak boleh menggunakan kedudukannya atau sebarang jua pendekatan untuk memeras ugut mana-mana pihak.

“Sesiapa pun tidak boleh melampaui undang-undang, dan mereka yang melanggar undang-undang harus dikenakan hukuman yang setimpalnya,” tegasnya yang juga Adun Bilut. – Roketkini.com