Berita

DAP lapor polis fitnah mahu menteri pendidikan diganti

Pemimpin DAP membuat laporan polis berhubung penularan artikel berbaur fitnah yang menuduh DAP kononnya mendesak agar Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggantikan Dr Maszlee Malik dengan Teo Nie Ching sebagai menteri pendidikan.

Merujuk artikel yang dikongsikan oleh laman Facebook ‘UMNO Online’, Adun Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid berkata, penyebaran fitnah tersebut jelas merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 499/500 Kanun Keseksaan.

“Parti DAP tidak pernah membuat permintaan atau tuntutan sedemikian. UMNO menggunakan kebencian dan menggerakkan sentimen perkauman sebagai suatu platform untuk menyebarkan ketakutan.

“Ia adalah jelas bahawa mereka kini terasa terancam apabila melihat sokongan yang diberi kepada Kerajaan Pakatan Harapan oleh Rakyat,” tegasnya dalam kenyataan media, baru-baru ini.

Syerleena membuat laporan polis tersebut di Ibu Pejabat Polis Timur Laut, George Town semalam.

Mengulas lanjut, Syerleena yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Wanita berkata, penyebaran fitnah tersebut adalah taktik kotor UMNO untuk memecah-belahkan parti dalam Pakatan Harapan.

“Perkara ini telah amat jelas bahawa mereka tidak tahu untuk mengambil sesuatu isu atau perbincangan secara matang lalu sering kali mengamalkan budaya fitnah untuk memecah-belahkan satu sama lain.

“Parti pembangkang harus berhenti untuk mengganggu perpaduan dalam kalangan parti Pakatan Harapan dengan menyebarkan berita palsu dan melaga-lagakan suatu sama lain,” ujarnya.

Tambah beliau, Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang juga telah mengeluarkan kenyataan bagi menafikan fitnah berkenaan.

“Perkara ini merupakan suatu isu yang sangat serius dan saya harap pihak polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengambil tindakan segera bagi menangani penyebaran fitnah ini oleh puak-puak pembangkang,” tegasnya. – Roketkini.com