Exco Pulau Pinang Dr Afif Bahardin membidas Najib Razak berhubung projek terowong di Pulau Pinang.
Menurut beliau, kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin mantan perdana menteri itu sebelum ini adalah pihak yang bertanggungjawab meluluskan penangguhan projek terowong dasar laut berkenaan.
Ini gara-gara dendam kerajaan BN sehingga tidak mempedulikan usaha kerajaan negeri Pulau Pinang bagi menyelesaikan isu kesesakan di negeri itu, tambahnya.
“Kini dia berdiri tepi laut dan tuding jari tanya kita mana terowong?
“Terowong itu merupakan rancangan kerajaan Pulau Pinang untuk menghubungkan tanah besar ke pulau, memberi rakyat akses yang lebih baik ke pulau dan sebaliknya.
“Kita berusaha untuk menjadi lebih inklusif dan bukan hanya menumpukan untuk membangunkan pulau.
“Bagaimana Najib boleh ketawa macam ia adalah suatu jenaka? Najib sudah sesat. Dulu dia ada visi, tapi kini itu pun sudah hilang,” katanya yang juga merupakan Adun Seberang Jaya.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika menerajui Pulau Pinang sebagai Ketua Menteri berkali-kali menegaskan bahawa pemimpin BN cuba untuk mensabotaj usaha murni kerajaan negeri itu.
Mengulas lanjut, Afif turut mengingatkan Najib agar menjelaskan mengenai skandal 1MDB yang menyaksikannya dia didakwa dan dibicarakan di mahkamah atas pelbagai tuduhan.
“Wang yang dia (Najib) ambil pun hilang, tak nampak.
“Kata dulang paku serpih. Dia tak sedar ke gimik dia ini memalukan? Dia tuding satu jari pada orang lain, empat jari tuding diri sendiri,” katanya. – Roketkini.com