Rencana

Najib bohong lagi isu terowong

Para pemimpin DAP seharusnya tidak melayan pembohongan daripada mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kerana aksi penipuan tersebut hanya memberikan peluang untuk beliau mengalihkan perhatian dunia daripada perbicaraan kes rasuah dan kleptokrasi terbesar dalam sejarah. Saya telah diajukan banyak permintaan daripada pemimpin DAP untuk membalas pembohongan beliau, yang terkini berkenaan terowong bawah laut Penang yang dicadangkan yang beliau dakwa mempunyai kos sebanyak RM6.3 bilion, di mana hakikat sebenarnya ialah ia dianugerahkan melalui tender terbuka dengan nilai RM3.6 bilion.

Media arus perdana yang dikawal BN dan media sosial mereka akan mencanangkan pembohongan beliau. Apa gunanya membalas pembohongan seseorang yang begitu tanpa moral dan tanpa etika sehingga dia langsung tidak berasa malu apabila puluhan bilion ringgit daripada khazanah negara telah dirompak melalui 1MDB? Sebaliknya dia masih mampu bangga dengan gelarannya, “Malu apa bossku?”

Tidak pernah Najib menjelaskan sepenuhnya skandal 1MDB, wang berbilion ringgit dalam akaun bank peribadi beliau sehingga menyebabkan pendakwaan rasuah terhadap beliau, dan juga laporan akhbar yang melaporkan bahawa beliau telah dikenakan penilaian cukai individu yang terbesar dalam sejarah Malaysia. Najib juga tidak pernah memberi penjelasan mengapa beliau meluluskan pembayaran

RM8.3 bilion atau 88% untuk 2 kontrak saluran paip bernilai sebanyak

RM9.4 bilion, sedangkan hanya 13% kerja telah dilakukan. Lebih parah lagi, 13% kerja yang dikatakan telah dilakukan masih belum dapat disahkan atau diaudit.

Mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah melempar serangan berbentuk rasis dan ekstremis terhadap pemimpin PH, khususnya terhadap DAP yang merupakan sasaran lembut kegemaran beliau, untuk melaga-lagakan orang Melayu dengan bukan Melayu, atau Muslim dengan non-Muslim. Dengan membalas kepada semua pembohongan ini, kita hanya akan tergelincir ke dalam perangkap beliau supaya beliau dapat berlakon menjadi mangsa yang sedang diserang oleh semua pihak.

Apabila pembohongan ini didedahkan, beliau akan membuat acuh tak acuh atau mengabaikan sahaja tanpa segan silu dan terus melemparkan pembohongan yang seterusnya. Kita harus menerima hakikat bahawa Najib terus menarik perhatian awam kerana dia telah menjadi suatu keganjilan sama seperti mana-mana kemalangan jalan raya, perkara ngeri, atau tragedi.

Jangan kita lupa bahawa jumlah penyokong yang hadir di perbicaraan rasuah beliau lebih kecil berbanding yang hadir menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jangan lupa jua yang Najib dapat menarik perhatian ramai apabila dia berkempen untuk calon PBS dalam pilihan raya kecil Sandakan baru-baru ini, akan tetapi calon DAP, Vivian Wong, menang dengan majoriti lebih besar daripada Pilihanraya Umum 2018.

Tak perlulah kita membuang masa dengan memberi perhatian kepada Najib apabila sejarah dan rakyat dalam Pilihanraya Umum ke-14 telah membuat keputusan tentang beliau. Sebaliknya, kita harus gandakan usaha kita untuk membawa perubahan yang positif kepada negara, dan membawa kemakmuran supaya Malaysia dapat mengaum semula sebagai seekor Harimau Ekonomi Asia. Marilah kita menumpukan perhatian kita kepada rakyat, dengan meningkatkan taraf hidup, menaikkan kuasa pembelian dan kemakmuran untuk semua rakyat Malaysia, serta menjayakan reformasi institusi yang membawa kebebasan, keadilan, kedaulatan undang-undang, dan integriti awam yang dapat mengembalikan maruah dan kehormatan kepada rakyat Malaysia.

Manakala buat Najib pula, biarlah mahkamah yang menentukan. Biarlah fakta dan angka buktikan bahawa apa yang Malaysia telah hilang sewaktu pemerintahan beliau lebih teruk daripada kekayaan yang dirompak oleh mantan Presiden Filipina Marcos, dan bahawa ribuan pasangan kasut milik Imelda Marcos tidak dapat dibandingkan dengan ratusan beg tangan mewah yang telah dirampas oleh pihak berkuasa. – Roketkini.com

*Lim Guan Eng adalah Setiausaha Agung DAP, Ahli Parlimen Bagan dan Menteri Kewangan.