Berita

DAP Perak akur titah Sultan Nazrin larang salah guna masjid

DAP Perak akur dan menjunjung kasih serta menyokong penuh titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah agar masjid dan surau tidak digunakan demi kepentingan mana-mana parti politik.

Pengerusinya, Nga Kor Ming berkata, arahan akan dikeluarkan kepada seluruh anggota di lebih 300 cawangan di Perak supaya patuh dengan arahan tuanku selaku Ketua Agama Islam negeri.

“Sebenarnya ini merupakan satu titah yang cukup bijaksana kerana masjid dan surau sememangnya untuk beribadat dan bukan untuk tujuan politik.

“Kami juga menyeru kepada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana jawatankuasa masjid yang melanggar titah tuanku dan tindakan tegas wajar diambil termasuk menggantung tugas mereka.

“Perkara ini bukan sahaja tidak sepatututnya berlaku pada bulan Ramadan tetapi sepanjang masa,” katanya seperti dipetik media dalam majlis berbuka puasa anjuran DAP Perak, baru-baru ini.

Minggu lalu, Sultan Nazrin menegur parti politik untuk tidak menyalahgunakan surau dan masjid bagi tujuan berpolitik.

Baginda menekankan agar pengerusi masjid dan surau yang membenarkan premis mereka digunakan untuk program parti politik digantung tugas sementara siasatan ke atas mereka dijalankan.

Pada 25 Mei, Sultan Nazrin turut menitahkan pemimpin enam parti politik utama di Perak menghadap baginda iaitu Pengerusi Bersatu negeri, Ahmad Faizal Azumu; Penasihat DAP negeri, Ngeh Koo Ham; Pengerusi Amanah negeri, Asmuni Awi; Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Saarani Mohamad; Pesuruhjaya PAS negeri, Razman Zakaria dan Pengerusi PKR negeri, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. – Roketkini.com