Berita

Kit Siang cadang tubuh RCI siasat ‘operasi Najib’ pada Julai 2015

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Penyiasatan Diraja (RCI) bagi mendedahkan operasi yang dirancang mantan Perdana Menteri Najib Razak pada Julai 2015.

Menurut beliau, operasi berkenaan menyerang prinsip demokrasi berperlembagaan dan melumpuhkan kebebasan dan profesionalisme institusi-institusi utama negara.

Tambah beliau, ia dilakukan semata-mata sebagai usaha untuk menutup skandal 1MDB yang heboh diperkatakan masyarakat antarabangsa.

Katanya lagi, Najib menyerang doktrin pemisahan kuasa, tadbir urus dan integriti awam yang baik di samping melakukan serangan sistematik ke atas kebebasan, keadilan dan profesionalisme institusi-institusi utama seperti parlimen, Jabatan Peguam Negara, polis, Bank Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Ketua Audit Negara.

“Rakyat Malaysia berhak untuk tahu apa yang berlaku sepanjang tempoh ‘Week of Long Knives Operation’ pada minggu terakhir Julai 2015 bila negara heboh dengan khabar angin bahawa peguam negara akan mendakwa (bekas) perdana menteri Najib atas amalan rasuah berkaitan skandal 1MDB.

“Namun, dengan tiba-tiba pada 28 Julai, 2015, Najib melancarkan serangan dan peguam negara Gani Patail dipecat, Mohamad Apandi Ali meletak jawatan dari Mahkamah Persekutuan dan mengangkat sumpah sebagai peguam negara baru, timbalan perdana menteri Muhyiddin Yassin dan menteri kemajuan luar bandar dan wilayah Shafie Apdal dipecat.

“Institusi negara seperti Jabatan Peguam Negara, polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Bank Negara dilumpuhkan dan ‘dijinakkan’ dengan pembubaran Pasukan Petugas Khas mengenai 1MDB,” kata pemimpin veteran DAP itu dalam kenyataan.

Kit Siang sebelum ini mengambil keputusan untuk tidak meneruskan debat dengan Najib selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

Najib bagaimanapun mendabik dada dan mengisytiharkan ia sebagai “kemenangan moral besar” bagi beliau.

Pun begitu, Kit Siang berkata, Najib muflis politik dan tidak bermoral apabila berdiam diri beberapa tahun ini mengenai isu kleptokrasi global membabitkan skandal 1MDB.