Rencana

Ketua DAPSY Howard Lee zahir rasa dukacita atas pemergian Sejarawan Negara

Saya turut berdukacita dengan pemergian Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr Khoo Kay Kim. Anak jati Kampar, Perak yang disegani ini juga merupakan tokoh sejarawan ulung negara, selain akan terus dikenang selama-lamanya sebagai salah seorang penulis yang merangka Rukun Negara. 

Beliau merupakan Penerima Anugerah Merdeka 2018 atas pencapaian akademik luar biasa serta bertanggungjawab dalam kajian serta penterjemahan semula sejarah Malaysia. Sesungguhnya, beliau telah mendedikasikan seumur hidupnya dalam bidang pendidikan sejarah.

Biarpun mempunyai pandangan sejarah yang kadang-kala berbeza dengan majoriti terutamanya di dalam polemik penjajahan negara, beliau akan selamanya dikenang kerana meraikan keterbukaan pendapat yang berlawanan dengan pandangannya. Beliau juga pernah memberikan saranan bernas untuk kita hayati bersama : 

“Sudah tiba masanya, tumpuan besar harus diberikan kepada sukan kerana dari situ semangat cinta sesama bangsa dapat disemai lantas membentuk patriotisme ke arah mencapai kejayaan dan membangunkan jiwa merdeka.” 

Semoga semangat dan cinta beliau di dalam bidang sukan atas kepentingannya dalam membentuk patriotisme ini akan digenggam oleh kita semua sebagai panduan menghadapi hari mendatang.

Salam takziah diucapkan kepada keluarga mendiang dan saya berharap agar mereka tabah dan diberi kekuatan menempuh dugaan ini. Selamat kembali ke negeri abadi, Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr Khoo Kay Kim.– Roketkini.com