Berita

Kit Siang tekad laksana reformasi institusi pentadbiran dan politik

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang hari ini memberi dua cadangan berhubung soal reformasi institusi pentadbiran dan politik.

Pertama, menggesa agar polis menyiasat dan mendakwa mantan perdana menteri Najib Razak atas cubaan melakukan “aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen” berhubung operasi “Week of Long Knives” pada Julai 2015.

Kedua, memansuhkan sama sekali peruntukan dalam Kanun Keseksaan itu memandangkan ia pernah disalahgunakan oleh pentadbiran Najib sebelum ini untuk mengekang suara pengkritik yang lantang mendedahkan skandal 1MDB.

“Adakah pihak pembangkang akan menentang pemansuhan kesalahan jenayah berhubung ‘aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen’ dan menyekat serta mensabotaj usaha itu seperti mana yang terjadi dalam kes pemansuhan Akta Antiberita Tidak Benar?” kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dalam kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sebelum ini, Kit Siang mendakwa Najib, semasa menjadi perdana menteri, merancang apa yang dipanggilnya sebagai “Week of Long Knives” pada Julai 2015 yang menyerang prinsip demokrasi berperlembagaan serta melumpuhkan kebebasan dan profesionalisme institusi-institusi utama negara.

Kata yang juga Timbalan Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus, Najib menyerang doktrin pemisahan kuasa, tadbir urus dan integriti awam yang baik di samping melakukan serangan sistematik ke atas kebebasan, keadilan dan profesionalisme institusi-institusi utama seperti parlimen, Jabatan Peguam Negara, polis, Bank Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Ketua Audit Negara.

Untuk rekod, pentadbiran Najib pada 2012 meminda Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2012 bagi memasukkan peruntukan kesalahan melakukan “aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen”.

Sebagai contoh, Seksyen 124C memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun jika seseorang itu didapati bersalah melakukan “aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen”.

Peruntukan itu bagaimanapun didakwa disalah guna oleh pentadbiran Najib untuk mengekang pengkritik kerajaan BN antaranya Ambiga Sreenivasan, Maria Chin, Tony Pua, Rafizi Ramli, Tong Kooi Ong dan Khairuddin Abu Hassan. Roketkini.com