Berita

Hukumnya harus bukan Islam agih bantuan zakat pada asnaf, kata mufti Pulau Pinang

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menegaskan bahawa hukumnya harus bagi orang bukan Islam mengagihkan bantuan zakat kepada golongan asnaf.

Dari sudut feqah, katanya, adalah harus untuk orang bukan Islam diwakilkan sama ada untuk menerima atau mengagihkan zakat kepada golongan asnaf.

“Ini hanya yang berkaitan dengan mu’amalat dan ibadat Maliyah seperti zakat, nazar dan kaffarah.

“Ibadat yang berbentuk fizikal (ibadat badaniyah) seperti solat dan puasa, tidak harus diwakilkan kepada orang lain,” katanya seperti dipetik Bernama pada majlis Iftar dan Pembayaran Zakat Perniagaan di Butterworth, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada penularan gambar berkaitan agihan zakat kepada golongan asnaf oleh beberapa wakil rakyat bukan Islam di Pulau Pinang di media sosial.

Tambah Wan Salim, Zakat Pulau Pinang (ZPP) hanya menyalurkan zakat menerusi pelbagai pihak termasuk menerusi wakil rakyat Islam dan bukan Islam untuk disampaikan kepada golongan asnaf.

“Asal tidak diselewengkan, pada pandangan saya, tidak perlu dijadikan isu. Sebagai mufti saya ingin menyeru umat Islam supaya tidak membesarkan perkara remeh temeh seperti ini.

“Sebaliknya perlu lebih menumpukan perhatian kepada hal-hal yang lebih penting bagi memacu pembangunan ekonomi dan pendidikan umat agar mencapai kedudukan yang lebih tinggi dan setanding dengan kaum-kaum lain,” katanya.

Presiden UMNO, Zahid Hamidi sebelum ini mempersoal tindakan wakil rakyat DAP Chris Lee Chun Kit yang memuat naik gambarnya mengagihkan zakat kepada golongan asnaf di Pulau Tikus, Pulau Pinang. – Roketkini.com