Berita

Najib tak ada hak buka mulut soal kredibiliti

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang membidas Najib Razak yang menuduh beliau telah “hilang kredibiliti” kerana menarik diri dari berdebat dengan mantan perdana menteri itu.

“Kalau ikut logik Najib, Najib sendiri tak ada hak untuk buka mulut kerana dia sendiri telah ‘hilang segala kredibiliti’ apabila dua kali mengelak untuk berdebat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam program ‘Nothing-to-Hide’ bagi merungkai skandal 1MDB, malah menjadi pengecut di persada antarabangsa apabila tidak hadir untuk memberikan ucaptama pembukaan dalam Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) Ke-16 yang disertai lebih 1,000 peserta dari 130 buah negara pada 2 hingga 4 September 2015, malah cuba lari semasa sedang diwawancara oleh wartawan Al Jazeera, Mary Ann Jolley, pada Oktober tahun lalu,” ujarnya.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri menarik diri daripada berdebat dengan Najib selepas menerima maklum balas daripada ramai pihak yang menasihati beliau agar tidak melayan pemimpin kleptokrat itu.

Tambah beliau, ada kemungkinan perdebatan itu akan dimanipulasi menjadi konflik perkauman.

“Memandangkan besar kemungkinan debat “Bagaimana Malaysia terjerumus menjadi sebuah kleptokrasi global dan bagaimana kita boleh kembali menjadi sebuah negara terulung yang berintegriti” di antara Najib dan saya ini boleh dimanipulasi menjadi satu konflik Melayu vs Cina.

“Sedangkan perang melawan rasuah, penyalah-gunaan kuasa dan jenayah seperti pengubahan wang haram bukanlah satu isu perkauman atau keagamaan tetapi satu isu nilai murni dan pentadbiran yang baik, saya telah memutuskan untuk tidak meneruskan debat dengan Najib ini,” katanya.

Kit Siang berkata, beliau sedar dan sedia akan menerima pelbagai tuduhan berikutan keputusan berkenaan.

“Kerjaya politik saya selama 53 tahun adalah terbuka untuk semua rakyat menghakimi sama ada saya seorang penakut ataupun tidak dan saya sentiasa bersedia untuk menerima penghakiman daripada rakyat,” ujarnya.  Roketkini.com