Berita

‘Saya akan jalankan tanggungjawab selari nasihat mufti dalam isu sensiviti agama’ – Chris Lee

Adun Pulau Tikus, Chris Lee Chun tampil menjelaskan isu pengagihan bantuan zakat di kawasannya.

Menurut wakil rakyat DAP itu, beliau berdiam diri walaupun diserang bertali arus berhubung isu itu kerana tidak mahu rakyat Malaysia berpecah-belah.

“Orang sebegini mencari salah dari perbezaan kita, bukan hendak mempromosikan nilai-nilai bersama rakyat Malaysia yang menyatupadukan kita,” katanya seperti dipetik Malaysiakini, hari ini.

Katanya, beliau menyerahkan tafsiran betul dan salah kepada pihak berkuasa agama untuk menjelaskan isu tersebut.

Sekarang Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor sudah menjelaskannya, saya hormat sepenuhnya pada penjelasan beliau,” ujarnya.

Dr Wan Salim seperti dilapor media sebelum ini berkata hukumnya harus untuk orang bukan Islam diwakilkan dalam hal berkaitan muamalat dan ibadat maliyah seperti zakat, nazar dan kaffarah.

Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mempersoalkan Chris Lee kerana mengagihkan zakat di kawasannya dan menyifatkan tindakan itu sebagi lakonan.

Beliau juga berikrar akan terus melaksanakan tanggungjawabnya selari dengan pandangan mufti negeri dan pihak berkuasa dalam soal yang menyentuh isu sensitif berkaitan agama.

“Saya hormat kepercayaan Islam dan pemimpinnya dan saya akan sentiasa dapatkan nasihat mereka apabila penjelasan diperlukan,” katanya. – Roketkini.com