Berita

Peguam bangkitkan hukuman khidmat masyarakat selepas lelaki hentak cermin kereta dipenjara

Peguam Syahredzan Johan dan Farhan Haziq Mohamed menggesa agar pemakaian hukuman khidmat masyarakat diperluaskan sebagai alternatif kepada hukuman penjara bagi kesalahan yang setimpal.

Mereka berkata demikian mengulas keputusan Majistret Nurshahira Abdul Salim menjatuhkan hukuman penjara setahun terhadap Danial Abdullah Tan, 31, yang mengaku bersalah menghentak cermin kereta menggunakan topi keledar.

Danial, yang melakukan kesalahan pertama itu, dikenakan pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan khianat dan mengakibatkan kerosakan berjumlah RM25 dan ke atas.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Syahredzan dan Farhan dalam satu kenyataan bersama, mengecam tindakan Danial dan menyokong penggunaan undang-undang ke atas pihak yang melakukan kesalahan buli jalan raya.

Setiausaha DAPSY Damansara, Farhan Haziq.

Pun begitu, Setiausaha Politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri dan itu berpendapat bahawa majistret terkhilaf menjatuhkan hukuman tersebut.

“Pada masa yang sama, kami dengan segala hormatnya berpendapat bahawa terdapat kekhilafan pada keputusan Puan Majistret dalam mengenakan hukuman penjara tersebut,” kata mereka.

“Kami sedar bahawa Seksyen 427 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara minima satu tahun, tetapi kami merasakan bahawa adalah lebih sesuai sekiranya tertuduh dikenakan hukuman denda dan bukannya penjara, mengambil kira beberapa faktor mitigasi termasuklah pengakuan salah dan keinsafan yang dilaporkan ditunjukkan oleh tertuduh.”

Mereka juga mengambil maklum bahawa Danial telah melantik peguam, justeru berharap dia akan mengemukakan rayuan atau memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk menyemak semula hukuman itu.

“Di samping itu, tertuduh juga punya pilihan untuk memohon supaya hukuman penjaranya digantung sementara menunggu rayuan atau semakan Mahkamah Tinggi,” katanya.

‘Luaskan pemakaian hukuman khidmat masyarakat’

Mengulas lanjut, mereka berkata, meskipun ada pihak berpendapat hukum penjara setimpal, ia sebenarnya bukan penyelesaian sesuai bagi setiap individu yang melalui sistem keadilan jenayah negara.

Malah, kata mereka, dengan memenjarakan pesalah, ia menjarakkan pesalah dengan masyarakat dan juga boleh membawa impak yang negatif kepada pesalah.

“Oleh itu, Kerajaan wajar meluaskan pemakaian hukuman khidmat masyarakat melangkaui peruntukkan Seksyen 293 Kanun Tatacara Jenayah sahaja.

“Untuk makluman, Seksyen 293 membenarkan Mahkamah mengenakan hukuman khidmat masyarakat kepada ‘pesalah muda’, iaitu mereka yang berumur dalam lingkungan 18 hingga 21 tahun,” kata mereka.

Jelas mereka, khidmat masyarakat bukan sesuatu yang asing dalam sistem keadilan di negara ini dan perlu diperluaskan kepada pesalah lain mengikut kesesuaian menerusi pindaan Kanun Tatacara Jenayah

“Kami bersetuju dengan mantan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum yang sebelum ini yang mencadangkan hukuman khidmat masyarakat sebagai usaha alternatif kepada hukuman pemenjaraan.

“Kami berpendapat bahawa hukuman khidmat masyarakat memberi peluang pesalah untuk membetulkan kesalahannya dengan cara melakukan kebaikan kepada orang lain dalam tempoh tertentu.

“Ini adalah lebih baik kepada pesalah dan juga masyarakat secara amnya” ujar mereka. – Roketkini.com