Berita

Jangan lepaskan mana-mana ‘jerung’, kata Kit Siang pada SPRM

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak membiarkan mana-mana ‘jerung’ terlepas daripada ditahan dan dibawa ke muka pengadilan.

Ini selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kerajaan tidak mempunyai tenaga kerja yang mencukupi untuk mengejar setiap pemimpin dalam kerajaan lalu yang disyaki melakukan salah laku.

“Sekalipun SPRM tidak dapat membentangkan kes pemimpin-pemimpin tertentu lalu kerana sibuk berurusan dengan kes kleptokrat dan ‘jerung’ lain, tidak ada ‘jerung’ yang harus diselamatkan daripada dibawa ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri sebelum ini menggesa pihak berkuasa menyiasat peristiwa Minggu Pemecatan Besar-besaran yang berlaku pada Julai dan Ogos 2015.

Ketika ditanya media mengenai gesaan itu Mahathir menjawab: “Kita dapati kerajaan yang ditewaskan (pada PRU lalu) mempunyai ramai yang melakukan jenayah, tetapi pada waktu ini tak mungkin kalau nak tumpu kepada semua kerana kita kekurangan tenaga (kerja).

“Pada waktu ini, kita tumpu kepada kes-kes yang amat serius umpamanya (bekas) perdana menteri yang menyebabkan wang KWAP (Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan) lesap,” katanya.

Program pengampunan dengan syarat

Mengulas lanjut, Kit Siang berkata Ketua Pesuruhjaya SPRM Baharu, Latheefa Koya memikul tugas yang berat dalam dua tahun akan datang.

Beliau juga memuji Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang menyeru supaya semua pemimpin Pakatan Harapan menyokong keputusan pelantikan Latheefa dan memberi ruang kepada beliau untuk menjalankan tugas yang telah diamanahkan.

“Rakyat Malaysia haruslah sentiasa berazam untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang disegani di mata dunia dalam indeks persepsi rasuah, yang berada di tangga tertinggi kaji selidik persepsi rasuah dalam sejarah negara ini.

“Mungkin masanya sudah tiba untuk Pusat Governans, Integriti, dan Anti Rasuah Kebangsaan (GIACC), SPRM, dan rakyat Malaysia secara amnya, yang mahu melihat Malaysia berubah daripada sebuah kleptokrasi global kepada sebuah negara yang berintegriti untuk mempertimbangkan satu bentuk program pengampunan bagi mereka yang terlibat dengan rasuah, dengan syarat mereka memulangkan semula semua harta yang diperolehi secara haram tersebut,” ujarnya. – Roketkini.com