Berita

Kematian ‘misteri’ Orang Asli bongkar aktiviti perlombongan haram Gua Musang

Pelbagai spekulasi akibat kematian misteri masyarakat Orang Asli suku Bateq di Gua Musang, Kelantan akhirnya membongkar kewujudan aktiviti perlombongan haram.

Menurut Timbalan Menteri Tanah, Sumber Asli dan Air Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, kebenaran melombong daripada kerajaan persekutuan telah tamat pada tahun 2017.

“Lesen pengeoperasian adalah di bawah kerajaan pusat walaupun sesebuah syarikat itu telah mendapat lesen perlombongan daripada kerajaan negeri,” katanya yang juga Ahli Parlimen Raub.

Tegas Tengku Zul, syarikat terbabit tidak boleh beroperasi sehingga mendapat lesen daripada Kerajaan Pusat.

“Biasanya untuk kelulusan lesen pengeoperasian ini mesti ada laporan EIA daripada Jabatan Alam Sekitar,” jelas beliau walaupun syarikat terbabit mempunyai lesen daripada kerajaan negeri bermula tahun 2016 sehingga 2023.

Beliau berkata demikian ketika tinjauan khas ke kawasan Orang Asli di Kg Koh yang terjejas akibat kematian misteri 14 penduduk sejak Mei lalu.

Menerusi tinjauan itu, pihaknya mendapati air yang diminum oleh masyarakat Orang Asli di kawasan tersebut berpunca dari hulu bukit di mana terdapat aktiviti perlombongan.

“Dalam semakan kami, sepatutnya perlombongan itu tak lagi beroperasi,” katanya yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan.

Berdasarkan laporan bedah siasat, kematian penduduk berpunca daripada sejenis penyakit dikenali sebagai pneumonia yang boleh menyerang saluran paru-paru.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan jangkitan itu berpunca daripada sisa perlombongan dan racun tanaman yang masuk ke dalam sumber air sungai berdekatan.

Setakat ini angka kematian rasmi polis dicatatkan adalah seramai tiga orang berbanding 14 orang sebelum ini sebagaimana dilaporkan media.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Prof Dr Juli Edo, keadaan ini berlaku kerana ketiadaan medium komunikasi ekoran kedudukan Orang Asli berkenaan yang jauh berhampiran Taman Negara di sempadan Kelantan-Pahang sewaktu mereka berhijrah.

Pada masa yang sama katanya situasi panik, tertekan dan takut kepada penyakit yang merebak menyebabkan Orang Asli di Kuala Koh, mengebumikan mayat dengan segera mengikut adat dan tidak melaporkan kepada pihak berkuasa.

“Apa yang berlaku di Kuala Koh ini ada satu hari dua kematian, jadi kedudukan pula jauh, lepas itu mereka panik dan takut dengan penyakit jadi mereka percaya lagi lama mayat disimpan penyakit itu akan merebak. Itu menyebabkan mereka cepat-cepat ke bumi.

“Kebiasaannya, Orang Asli bila saudara mara mereka meninggal dunia, mereka akan kebumikan begitu sahaja, namun peraturan kita sekarang memerlukan mereka melaporkan kepada pihak berkuasa dan kalau kita kebumi tanpa melaporkannya ia dianggap satu kesalahan, itu undang-undang kita,” katanya lapor Bernama.

Sehingaa saat ini, kira-kira 25 keluarga yang mewakili sekitar 50 penduduk Orang Asli Kg Koh telah berpindah ke kawasan penempatan sementara sekitar tiga kilometer dari kawasan asal.

Untuk rekod, Tengku Zulpuri dan NGO Kami Insan Tanah Air (KITA) telahpun mengadakan lawatan ke kawasan terjejas sejak Disember tahun lalu selepas mendapat aduan tentang pencemaran sumber air dipercayai akibat perlombongan haram terbabit. – Roketkini.com