Berita

Masalah utama Orang Asli perlu diberi perhatian serius – Kit Siang

Kerajaan dan pihak berkaitan harus mencari jalan bagi mengatasi masalah utama yang membelenggu masyarakat Orang Asli negara ini, tegas pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.

Katanya, masalah kekurangan zat dan imunisasi di kalangan masyarakat Orang Asli harus diberi perhatian supaya tragedi yang menimpa suku Bateq tidak lagi berulang.

Beliau justeru menggesa pihak berkuasa untuk melakukan tinjauan ke penempatan Orang Asli di seluruh negara bagi mengenal pasti sama ada mereka mengalami masalah berkenaan.

“Sementara kerja-kerja menghantar makanan tambahan dan bekalan diperlukan ke Kampung Kuala Koh dijalankan, tugas yang sama penting iaitu untuk memastikan tragedi seperti yang berlaku di Kampung Kuala Koh tidak berulang kembali harus juga digerakkan, pihak berkuasa harus melaksanakan tinjauan segera bagi mengenal pasti masyarakat Orang Asli lain yang turut menderita masalah kekurangan zat dan imunisasi, sehingga menyebabkan mereka terdedah kepada risiko kematian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mempengerusikan mesyuarat tergempar tragedi suku Bateq.

Hasil mesyuarat itu, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan bahawa kerajaan telah menghantar makanan tambahan dan bekalan yang diperlukan.

Menurutnya, masyarakat Orang Asli di Kampung Koh mengalami masalah sistem imunisasi berpunca daripada masalah kekurangan zat.

“Kami segera membekalkan semua suplemen ini untuk menangani masalah kekurangan zat dan ada yang tidak divaksin. Sistem imun badan mereka terjejas dan perlu diberikan semua (bekalan yang diperlukan) – vitamin dan semua itu untuk menangani kekurangan gizi,” katanya.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri, turut memetik pandangan penyelaras Pusat Prihatinan Orang Asli (COAC), Colin Nicholas mengenai situasi yang dihadapi masyarakat Orang Asli.

Menurut Nicholas, tindakan kerajaan negeri Kelantan merampas tanah dari masyarakat Orang Asli suku Bateq menyebabkan mereka kehilangan sumber dan cara hidup tradisional mereka.

Kesannya, mereka mengalami masalah sistem kekurangan zat dan imunisasi. – Roketkini.com