Berita

Tragedi suku Bateq: Mustahil kerajaan Kelantan tak tahu kewujudan lombong – Tengku Zulpuri

Mustahil Kerajaan Negeri Kelantan tidak tahu tentang kewujudan kawasan perlombongan bijih besi berhampiran penempatan penduduk Orang Asli suku Bateq di Kuala Koh, Gua Musang, kata Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.

Menyifatkan kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menafikan perkara itu sebagai tidak masuk akal, katanya, semakan mendapat pelombong berkenaan mendapat lesen untuk melombong sehingga 2023.

“Sebelum sesebuah syarikat itu dibenarkan melombong di sesuatu kawasan, mereka perlu mendapatkan lesen melombong daripada kerajaan negeri dan lesen pengoperasian daripada kerajaan pusat, jika tidak mereka dikategorikan sebagai pelombong haram.

“Hasil semakan, kita mendapati syarikat berkenaan memperoleh lesen perlombongan sehingga 2023…tetapi lesen pengoperasian yang dikeluarkan oleh kerajaan pusat telah tamat pada 2017 disebabkan syarikat itu tidak mematuhi Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

“Jadi kenyataan itu (tiada kawasan perlombongan bijih besi) memang tidak masuk akal kerana saya sendiri telah turun padang dan mesin untuk menjalankan kerja-kerja berkenaan masih ada di kawasan itu,” katanya seperti dipetik Bernama, hari ini.

Mohd Amar seperti dilapor media sebelum ini menafikan bahawa terdapat aktiviti perlombongan di kawasan penempatan Orang Asli tersebut.

Malah, beliau mendakwa ‘misteri’ kematian Orang Asli suku Bateq Kuala Koh sebagai jangkitan biasa sahaja dan mendakwa penyakit radang paru-paru yang dialami mereka adalah sejenis penyakit bawaan udara sekali gus menolak dakwaan ia akibat sumber air yang tercemar.

Tengku Zulpuri yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan bagaimanapun mempersoal respons tersebut kerana jika ia disebabkan bawaan udara, mengapa mengapa hanya suku Bateq sahaja yang terkena jangkitan penyakit itu.

“Jadi masih terlalu awal juga untuk mengatakan penyakit ini bukan berpunca daripada sumber air walaupun sebelum ini Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) mengesahkan ia bebas daripada bahan radio aktif.

“Mereka perlu pantau kandungan air berkenaan untuk satu tempoh panjang melibatkan keadaan cuaca panas mahupun selepas hujan, barulah keputusan dapat diperoleh dengan tepat dan bukannya dengan mengambil sekali sahaja bacaan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Raub. – Roketkini.com