Berita

DAP ucap takziah atas pemergian Morsi

DAP menzahirkan ucapan takziah kepada rakyat Mesir yang cintakan keamanan atas pemergian bekas presiden mereka, Mohammed Morsi.

Ucapan takziah itu disampaikan Setiausaha Antarabangsa DAP, Teo Nie Ching dalam kenyataan yang sarat dengan mesej kemanusiaan, hari ini.

“Semoga pemergiannya mengingatkan kita tentang harga demokrasi, tanpa menghiraukan afiliasi dan di mana letaknya kecenderungan politik seseorang dalam spektrum politik yang kompleks, kemajuan kemanusiaan kolektif harus menjadi keutamaan.

“Solidariti dengan mereka yang ditindas – meskipun dengan mereka yang tidak bersependapat dengan kita – harus menjadi kelaziman dan bukan pengecualian.

“Perbezaan politik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melucutkan seseorang daripada hak kemanusiannya. Semoga beliau bersemadi dengan tenang,” katanya.

Morsi meninggal dunia di hospital di Kaherah, Mesir selepas pengsan ketika sesi perbicaraan di mahkamah pada Isnin.

Morsi adalah Presiden Mesir pertama yang dilantik secara demokratik pada 2012 sebelum pihak tentera menumbang pemerintahannya pada 2013.

Beliau hidup dalam penjara selepas digulingkan dan berdepan beberapa pendakwaan. – Roketkini.com