Berita

Menteri Kewangan umum elaun penghargaan bulanan RM5,000 buat Sasterawan Negara

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan elaun penghargaan RM5,000 sebulan kepada tujuh Sasterawan Negara sebagai menghargai jasa dan sumbangan mereka dalam perkembangan kesusasteraan tanah air.

Menurutnya, pemberian itu juga sebagai tanda penghargaan kepada usaha dan dedikasi mereka dalam memainkan peranan penting membina Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan yang menyatupadukan negara. 

“Kerajaan telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM5,000 sebulan seorang (berjumlah RM35,000 dari bulan Julai hingga Disember 2019) kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk pembiayaan Elaun Penghargaan bulanan bagi tujuh Sasterawan Negara mulai Jun 2019. 

“Bayaran bulanan RM5,000 akan diteruskan pada tahun-tahun yang seterusnya,” katanya dalam kenyataan. 

Antara penerima elaun tersebut adalah:

  1. Dato’ Seri (Dr) A. Samad Said; 
  2. Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh; 
  3. Dato’ Noordin Hassan; 
  4. Dato’ Dr. Mohd Anuar bin Haji Rethwan (Anwar Ridhwan); 
  5. Dato’ Dr. Ahmad Khamal Abdullah (Kemala); 
  6. Dato’ (Dr.) Baharuddin Zainal (Baha Zain); 
  7. Datuk Dr. Zurinah Hassan 

“Pemberian elaun penghargaan daripada Kementerian Kewangan ini diharapkan dapat menjamin kesinambungan mutu hasil seni dengan cemerlang, dan menunjukkan penekanan terhadap sastera dan bahasa daripada semua lapisan masyarakat, termasuk daripada sebuah kementerian yang tidak biasanya terlibat secara langsung dengan bidang sastera yang istimewa ini,” ujar Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Anugerah Sastera Negara dipilih oleh Urusetia Panel Anugerah Sastera Negara yang diketuai oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia, dengan kemudahan berikut:

  1. Warkah Penghormatan Negara; 
  2. Wang tunai sebanyak RM60,000; 
  3. Kemudahan dan keselesaan untuk kegiatan mencipta; 
  4. Kemudahan untuk penerbitan karya; 
  5. Kemudahan perubatan percuma dalam wad kelas satu di mana-mana hospital kerajaan; 
  6. Penerbitan sebanyak 50,000 naskhah daripada karya penerima anugerah atau harga berjumlah maksimum RM500,000 untuk dibeli oleh Kerajaan dan disebarkan ke sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi Kerajaan; dan 
  7. Penterjemahan karya yang sesuai ke dalam bahasa asing. – Roketkini.com