Berita

MP DAP harap pembangkang sokong usul turunkan had umur mengundi

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Ting menggesa pembangkang agar menyokong usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menurunkan had umur layak mengundi dari 21 kepada 18 tahun. 

Ini selepas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun memaklumkan usul pindaan Perlembagaan Persekutuan mengenai perkara itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi Julai ini.

“Pihak pembangkang, khususnya UMNO, PAS, dan GAP, tidak ada sebarang sebab untuk tidak menyokong usul ini, melainkan mereka berhasrat untuk mensabotaj agenda reformasi kerajaan PH, selain mempolitikkan isu ini, dan menidakkan kehendak rakyat. 

“Semua parti politik dan ahli parlimen wajar mengambil pendekatan bipartisan dalam isu ini dan menyokong usul tersebut sepenuhnya untuk memperkasakan golongan belia di Malaysia,” ujarnya yang juga Naib Pengerusi DAP Melaka dalam kenyataan, hari ini.

Cadangan untuk menurunkan had umur layak mengundi merupakan sebahagian daripada manifesto pilihan raya PH bagi memperkasakan golongan muda dan membolehkan mereka mengambil bahagian dalam proses demokrasi secara langsung. 

Penurunan had umur layak mengundi kepada 18 tahun dijangka akan memberikan kelayakan mengundi kepada 3.7 juta belia. 

Penambahan ini besar jika dibandingkan dengan jumlah pengundi yang berdaftar pada pilihan raya umum yang lepas, iaitu seramai 13.9 juta pengundi. – Roketkini.com