Rencana

Usah terikut main isu kaum, sentimen kebencian

Saya merujuk kenyataan media yang diterbitkan oleh Ketua Pemuda PAS Melaka, Ahmad Bilal Rahudin dan saya telah mengambil maklum segala macam tohmahan dan tuduhan beliau yang pada hemat saya adalah tuduhan yang tidak berasas kepada DAP.

Ingin saya tegaskan di sini bahawa Pakatan Harapan menjunjung tinggi konsep musyawarah dan segala keputusan yang diputuskan harus mendapat persetujuan daripada kesemua pimpinan parti komponen.

Di peringkat negeri Melaka, sungguhpun DAP mendapat jumlah kerusi undi yang tinggi berbanding rakan komponen Pakatan Harapan yang lain, namun atas dasar kesepakatan yang utuh dan erat, kami bersetuju memilih Pengerusi Pakatan Harapan Melaka iaitu Adly Zahari untuk memimpin Kerajaan Negeri Melaka pasca PRU-14.

Saya amat kesal dengan tuduhan, fitnah dan hasutan yang dilakukan oleh Ketua Pemuda PAS berkaitan beberapa isu seperti pengiktirafan kerajaan negeri Melaka terhadap lepasan UEC, hal ehwal sumber manusia di Hospital Pakar Putra dan juga pemberian jawatan kepada kroni dan ahli keluarga. 

Saya yakin Ketua Pemuda PAS seorang yang cerdik dan cakna terhadap isu semasa. Adakah beliau tidak membaca dan peka terhadap pendirian kerajaan negeri bahawa pengiktirafan UEC ini diperakui selagi mana pembelajaran Bahasa Melayu tidak dipinggirkan atau diutamakan?

Selain itu, segala tuduhan berkaitan Hospital Pakar Putra milik kerajaan negeri Melaka perlulah disokong dengan fakta yang jelas dan bukan hanya cakap kosong semata-mata.

Berkenaan isu pelantikan kroni dan dan kaum keluarga pula, ingin saya jelaskan bahawa pelantikan-pelantikan yang dibuat adalah berdasarkan merit dan bukan pelantikan tangkap muat sahaja.

Saya mencabar Ketua Pemuda PAS Melaka supaya tampil ke hadapan dan memberikan bukti dan fakta yang jelas terhadap kesemua tuduhan memandangkan tanggungjawab dan beban pembuktian terletak di atas bahu beliau.

Usahlah bermain sentimen kebencian dan memanipulasi isu perkauman untuk menunjuk jaguh dalam membela nasib rakyat sebagaimana yang dilakukan oleh UMNO dan Barisan Nasional sehingga ke hari ini.

Kerajaan Pakatan Harapan melalui kesemua parti komponen khususnya DAP amat menyokong usaha untuk mengembalikan semula kewibawaan tadbir urus yang lebih bersih, cekap dan bermaruah untuk Melaka dan Malaysia yang lebih baik. – Roketkini.com

*Muhamad Danish Zainudin adalah Setiausaha Politik Adun Duyong, Exco Pemuda Pakatan Harapan Melaka, Ahli Jawatankuasa DAPSY Negeri Melaka.