Berita

Kit Siang jawab ‘pelawaan’ bekas PM dengan sindiran tajam

Lim Kit Siang tidak melayan ‘pelawaan’ Najib Razak untuk pemimpin veteran DAP itu menyertai UMNO. 

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu sebaliknya bertindak memulang buah paku keras dalam bentuk sindiran kepada bekas perdana menteri itu.

“Hanya kleptokrat yang tidak siuman akan memohon untuk menyertai sebuah parti yang masih tidak membersihkan imej kleptokrasi globalnya.

“Najib perlu tahu yang saya tidak akan mempelawa beliau untuk menyertai DAP, kerana pelawaan seumpama itu membangkitkan persoalan tentang integriti dan kewarasan kedua-dua pihak yang mempelawa dan yang menerima pelawaan itu,” katanya dalam hantaran hari ini. 

Kit Siang sebelum ini mendakwa Ahmad Zahid Hamidi kembali menerajui UMNO setelah enam bulan bercuti kerana mahu menyelamatkan Najib yang kini dilihat semakin hilang kawalan ke atas parti itu. – Roketkini.com