Berita

Usul wajibkan MP isytihar harta lulus, walau pembangkang ‘bermatian’ bantah

Kerajaan Pakatan Harapan komited untuk melaksanakan reformasi institusi seperti yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya bagi mengembalikan integriti negara selepas ‘tercalar’ lebih 60 tahun di bawah pentadbiran terdahulu. 

Oleh itu, kerajaan PH mengambil keputusan untuk membentangkan usul mewajibkan ahli Parlimen untuk mengisytiharkan harta, sebagai cara untuk mengekang budaya rasuah.

Usul berkenaan diluluskan Dewan Rakyat semalam, meskipun mendapat tentangan pihak pembangkang sebelum itu. 

Setelah hampir lima jam berbahas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Viu Keong akhirnya membuat penggulungan dan diikuti dengan sesi undian suara. 

Majoriti ahli Parlimen di dewan ketika itu berkata “setuju”, sementara yang lain hanya mendiamkan diri ketika Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof bertanya sama ada yang tidak bersetuju dengan usul berkenaan. 

Dengan keputusan itu, ahli Parlimen akan diberikan tempoh tiga bulan sehingga 1 Oktober untuk mengistiharkan mereka.

Menurut Liew, kerajaan mahu ahli Parlimen mengistiharkan harta setiap dua tahun dan sekiranya gagal akan dirujuk kepada jawatankuasa hak dan kebebasan parlimen.

Di bawah usul berkenaan yang berkuat kuasa semalam, ahli parlimen yang didapati membuat pengisytiharan palsu akan tertakluk di bawah Seksyen 199 Kanun Keseksaan, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 193 yang membawa penjara maksimum tiga tahun penjara dan denda sekiranya didapati bersalah.

Guna hadis palsu tolak isytihar harta?

Sebelum itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilapor berkata Islam kononnya melarang umatnya untuk mengisytiharkan harta.

Beliau turut mengemukakan hadis untuk menyokong hujah itu. 

“Dalam Islam ada hadis, kalau Tuhan beri harta jangan heboh kepada orang ramai kerana pendengkinya ramai.

“Selain itu ia melibatkan soal keselamatan, apabila isytihar harta, ke atas individu dan keluarga,” demikian alasan yang diberikan beliau bagi menentang usul pengisytiharan harta berkenaan. 

Kenyataan itu mengundang persoalan daripada pelbagai pihak yang pelik dengan sikap ‘gelabah’ pemimpin PAS itu dengan usul berkenaan. 

Malah, ada pihak yang mengungkit semula berita pada 2015 di mana Tuan Ibrahim dilaporkan menuntut supaya Najib Razak – ketika masih perdana menteri – dan isterinya Rosmah Mansor untuk mengisytiharkan harta.

Bagi Pengarah akademik Saudara Research Centre, Wan Ji Wan Hussin, hujah Tuan Ibrahim yang menolak pengisytiharan tidak bertepatan dengan asas Islam yang menekankan isu integriti, akauntabiliti dan ketelusan dalam berpolitik. 

“Apatah lagi, salah satu sifat utama Nabi Muhammad SAW ialah al-amin. Zaman kini, ia disebut integriti.

“Tidak bersedia mengisytihar harta adalah lambang bercanggah dengan sifat integriti yang sepatutnya. Apabila bercanggah dengan integriti, sudah pasti ia tidak selaras dengan sifat al-amin bagi nabi.

“Dengan sebab itu, tidak wajar bagi mana-mana anggota parlimen yang beragama Islam menolak amalan mengisytiharkan harta,” ujarnya. 

TIM PRESIDEN PAS GUNA HADIS PALSU UNTUK TIDAK ISYTIHAR HARTAOleh : Wan Ji bin Wan Hussin1. Secara dasarnya, Islam…

Wanji Wanhussin Wanjiさんの投稿 2019年7月1日月曜日

Malah, jelas beliau, hadis yang dipetik oleh Tuan Ibrahim itu adalah palsu berdasarkan apa yang pernah dinyatakan oleh al-Imam Ibn al-Jawzi.

“Dengan ini jelas bahawa ‘fatwa’ timbalan presiden PAS itu tidak berasaskan hujah yang benar. Apatah lagi dengan menyandarkan ia kepada Islam, ia boleh melahirkan persepsi buruk dari mata masyarakat non-Muslim terhadap agama Islam.

“Ia akan menyebabkan Islam seakan-akan agama yang tidak cenderung kepada integriti.

“Islam adalah agama yang pentingkan integriti. Dalam hal ini, sikap PAS sama sekali tidak mewakili ajaran Islam,” tegasnya. – Roketkini.com