Berita

‘DAP junjung kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan’

Tentu ada yang tertanya-tanya mengapa DAP, yang sering dimomokkan dengan pelbagai tohmahan oleh pihak lawan, masih mahu mendekati orang Melayu serta budayanya, malah menganjurkan majlis bagi menghargai sumbangan mereka. 

Bagi pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, jawapan bagi persoalan itu mudah; DAP tidak pernah memusuhi atau membenci orang Melayu mahupun budaya Melayu.

“Mungkin ada yang bertanya, mengapa tiba-tiba seorang wakil rakyat DAP seperti saya mahu meraikan Aidilfitri bersama dengan penggiat seni dan sastera?

“Apatah lagi kalau ikut dakyah seteru politik kami, sayalah bencana yang paling besar dalam negara buat orang Melayu.

“Mengapa saya, yang dikatakan musuh orang Melayu, mahu meraikan mereka yang bergiat dalam seni dan sastera Melayu pula?

“Jawapannya mudah. Kami dalam parti DAP tidak pernah memusuhi atau membenci orang Melayu mahupun budaya Melayu,” katanya pada  majlis “Rumah Terbuka Aidilfitri Meraikan Penggiat Seni dan Sastera” di Rumah Tamu Datin Halijah, Kuala Lumpur, semalam. 

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri, turut menegaskan bahawa DAP menjunjung perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. 

“Pada masa yang sama, kami juga junjung hak mana-mana orang untuk mengajar dan belajar bahasa-bahasa lain. Inilah asas negara kita. Ini yang kami pegang teguh,” tambahnya. – Roketkini.com