Berita

Kit Siang sokong usaha kerajaan PH iktiraf sumbangan Sasterawan Negara

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang menyokong penuh keputusan Kerajaan Pakatan Harapan memperkenalkan elaun penghargaan RM5,000 sebulan kepada Sasterawan Negara sebagai mengiktiraf sumbangan mereka. 

Beliau turut berharap usaha dalam memartabatkan seni dan sastera Melayu tidak akan terhenti di situ.

“Ini tanggungjawab kita bersama dalam membina sebuah negara bangsa Malaysia.

“Saya benar-benar berharap malam ini menjadi titik permulaan kepada hubungan yang lebih rapat di antara pihak kami dengan penggiat seni dan sastera seperti anda semua,” katanya pada majlis “Rumah Terbuka Aidilfitri Meraikan Penggiat Seni dan Sastera” bertempat di Rumah Tamu Datin Halijah, Kuala Lumpur, semalam. 

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Mazmi Kamal; Pengurus Besar ITBM, Sakri Abdullah; Presiden PENA, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad; Setiausaha Agung PENA, Saifullizan Yahaya.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini mengumumkan elaun penghargaan RM5,000 sebulan kepada tujuh Sasterawan Negara sebagai menghargai jasa dan sumbangan mereka dalam perkembangan kesusasteraan tanah air.

Menurutnya, pemberian itu juga sebagai tanda penghargaan kepada usaha dan dedikasi mereka dalam memainkan peranan penting membina Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan yang menyatupadukan negara. 

“Kerajaan telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM5,000 sebulan seorang (berjumlah RM35,000 dari bulan Julai hingga Disember 2019) kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk pembiayaan Elaun Penghargaan bulanan bagi tujuh Sasterawan Negara mulai Jun 2019. 

“Bayaran bulanan RM5,000 akan diteruskan pada tahun-tahun yang seterusnya,” katanya. – Roketkini.com