Rencana

MP Labis kesal soalan lisan jadi modal politik jijik UMNO

Tindakan UMNO memutar belit soalan lisan saya di Parlimen berkenaan sepasang nombor pendaftaran kenderaan pada 1 Julai 2019, secara penuh muslihat sehingga menjadi suatu isu perkauman dan seolah-olah wujud ‘peperangan’ dengan pihak Istana Johor adalah amat dikesali. Sejak UMNO kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), ia telah secara berterusan dan tanpa rasa segan silu menampakkan rupa buruknya dengan siri perang psikologi secara sistematik terhadap DAP dan pemimpin-pemimpinnya, dengan apa jua cara.

Terbaru adalah cubaan membawa usul tergempar ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, berkenaan soalan saya. Tujuan UMNO mengemukakan usul itu adalah tidak lain untuk mewujudkan permusuhan antara saya dan Istana Johor. Usul tersebut adalah suatu serangan tersirat terhadap saya secara peribadi, dan DAP secara amnya. UMNO cuba menjadikan Keluarga Diraja Johor mangsa kolateral untuk memperkukuh tapak sokongannya yang semakin merudum, dan mengalihkan perhatian orang ramai daripada perbicaraan rasuah pemimpin-pemimpinnya di mahkamah. Saya justeru amat berharap agar Keluarga Diraja Johor tidak terjerumus ke dalam perangkap licik yang dipasang oleh UMNO ini. Usul tersebut hanyalah jerangkap samar untuk tujuan tersembunyi mereka.

Saya memuji dan berterima kasih kepada Speaker DUN Johor yang tegas menolak usul perangkap ini, yang dibuat dengan sentimen perkauman.  

Malangnya, seperti yang dijangka, setelah gagal mengemukakan usul ini, “cybertroopers” UMNO tidak membuang masa dan segera melancarkan serangan berita palsu melalui laman Facebook mereka, Segamat Today, dengan mendakwa saya telah membuat kenyataan kononnya mendesak Kerabat Diraja Johor untuk tidak menggunakan nombor plat ‘TMJ’ dan ‘RZ’.

Untuk rekod, saya tidak pernah menyatakan demikian. Saya akan membuat laporan polis berkenaan berita palsu yang sengaja direka oleh Segamat Today dan saya menggesa pihak polis dan pihak-pihak berkuasa yang lain untuk mengambil tindakan segera bagi membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Insiden terbaru ini tambah mengesahkan akibat buruk yang menanti seorang Ahli Parlimen apabila sesuatu isu dibangkitkan di Parlimen, tidak kiralah betapa baikpun niat untuk membangkitkan isu itu; dan ia dengan mudah diputar belit sehingga menjadi kontroversi dengan akibat-akibat yang serius, oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Saya ingin menyatakan untuk rekod bahawa saya tidak mempunyai sebarang prasangka buruk terhadap Keluarga Diraja Johor. Hal sedemikian tidak akan pernah terlintas di fikiran saya, dan saya amat kesal sekiranya soalan tersebut telah mengguris perasaan Keluar Diraja Johor. Saya tidak berniat untuk berbuat demikian. – Roketkini.com

*Pang Hok Liong adalah Ahli Parlimen Labis