Rencana

Had umur mengundi 18 tahun: Risiko, cabaran besar buat PH

Penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun telah lama diketahui umum akan memberikan kelebihan kepada pihak pembangkang dan akan memberikan kesan negatif kepada pihak kerajaan semasa. Inilah sebabnya Perlembagaan Persekutuan tidak pernah dipinda untuk pemerkasaan golongan muda seperti yang akan dilakukan ini sepanjang 6 dekad yang sebelum ini. 

Tetapi kerajaan Pakatan Harapan akan membuktikan kepada negara ini, yang kami akan membuat keputusan berdasarkan kepentingan negara, walaupun ia mungkin akan bertentangan dengan kepentingan politik parti. Pakatan Harapan menerima cabaran ini untuk menjadikannya parti pilihan golongan muda dalam negara ini. 

Saya berasa lega dan gembira dengan pembentangan Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan semalam yang bertujuan untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun, memandangkan saya pernah mencadangkan perkara yang sama 48 tahun yang lepas pada tahun 1971. 

47 tahun yang lepas, pada tahun 1971, tahun pertama saya menyertai Parlimen (Parlimen digantung selama 18 bulan selepas PRU 1969 kerana Tragedi 13 Mei dan Darurat), saya telah membentangkan tiga cadangan untuk penambahbaikan sistem pilihan raya, iaitu;

– Penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun,

– Pendaftaran pengundi secara automatik, dan

– Mewajibkan pengundian.

Sejak daripada cadangan saya pada tahun 1971 ini, majoriti negara di seluruh dunia telah melaksanakan reformasi pilihan raya ini, kecuali Malaysia yang seakan-akan tersekat dalam peredaran masa dalam hal-hal reformasi parlimen dan pilihan raya.

Kini, dengan keputusan bersejarah 9 Mei 2018, Malaysia berada di haluan yang tepat untuk membina sebuah Malaysia yang Baharu.

Setakat hari ini, Malaysia ada salah satu daripada hanya beberapa negara yang masih belum melaksanakan reformasi pilihan raya untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun. 

Di kalangan negara ASEAN, hanya Malaysia dan Singapura yang masih mempunyai had umur mengundi pada umur 21 tahun, walaupun individu berumur 18 tahun dan ke atas dianggap sebagai individu yang matang, berkebolehan untuk memiliki hartanah, dan menyertai perjanjian yang mempunyai pelbagai tanggungjawab dan hak. 

Memandangkan masyarakat secara amnya menuntut golongan muda berumur 18 tahun dan ke atas untuk menunaikan tanggungjawab sosial seperti seorang dewasa — seperti direkrut untuk menyertai pasukan tentera apabila berlakunya perang atau darurat, mahupun mengorbankan nyawa dalam mempertahankan negara — golongan ini seharusnya diberikan hak untuk mengundi dan mempunyai suara dalam menentukan bagaimana negara ini ditadbir yang mempunyai kesan yang jelas terhadap kehidupan mereka. 

Di Thailand, Filipina, Vietnam, Laos, Kemboja, dan Myanmar, had umur mengundi adalah 18 tahun, manakala di Indonesia, had umur mengundi adalah 17 tahun dan ke atas. 

Antara negara-negara yang telah menurunkan umur mengundi daripada 21 tahun ke 18 tahun sejak daripada ucapan saya di Parlimen mengenai isu ini pada tahun 1971 termasuklah; Belanda, Amerika Syarikat, Finland, Sweden, Ireland, Filipina, Australia, Perancis, New Zealand, Itali, Trinidad & Tobago, Denmark, Sepanyol, Peru, Belgium, India, Switzerland, Austria, Estonia, Hong Kong, Liechenstein, Jordan, Pakistan, Morocco, Maghribi, Uzbekistan, Arab Saudi, dan Jepun. 

Manakala, negara-negara seperti United Kingdom, Turki, Poland, Kanada, dan Jerman pula telah pun memberikan hak mengundi kepada golongan yang berumur 18 tahun dan ke atas semasa saya berucap di Parlimen pada tahun 1971.

Berkat Pilihan Raya Umum ke-14 yang bersejarah pada 9 Mei 2018, Malaysia kini berada dalam haluan yang tepat untuk kembali ke arus perdana reformasi demokrasi dan pilihan raya. – Roketkini.com

*Kenyataan Media Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri di Kuala Lumpur pada hari Jumaat 5 Julai 2019