Berita

Sheikh Umar Bagharib Ali Ketua DAPSY Johor yang baharu

Sheikh Umar Bagharib Ali dilantik menjadi Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY) Johor yang baharu setelah mendapat 31 undi dalam pemilihan sayap pemuda DAP itu, hari ini.

Beliau menewaskan pencabarnya, Marina Ibrahim yang memperoleh dua undi.

Menurut pegawai pilihan raya DAPSY Johor, Eric Teh, seramai 56 daripada 62 wakil yang layak memilih ketua baharu mereka hadir.

Sheikh Umar menyertai DAP pada 2015 selepas meninggalkan PAS dan pernah berkhidmat sebagai pegawai khas bekas Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong.

Beliau pertama kali menyertai pilihan raya umum pada PRU14 yang lalu dan berjaya merampas kerusi DUN Paloh daripada BN dengan majoriti 783 undi.

Beliau turut dilantik menyertai pentadbiran kerajaan negeri Johor sebagai Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Sementara itu, Ketua DAPSY Kebangsaan, Howard Lee menyampaikan ucapan tahniah di atas kemenangan Sheikh Umar.

“Pemilihan kali ini berliku-liku dan jalan dihadapan masih agak mencabar. Semoga kepimpinan negeri yang baru, dan ahli DAPSY Johor dan pasukan saudari Marina Ibrahim terus bertabah meneruskan perjuangan parti.

“Menang kalah hanya soal sedih gembira seketika, persaingan bagaimana sengit pun jangan menjejaskan persaudaraan antara kita. Kerana akhirnya kita satu keluarga.

“Sekali-lagi tahniah Bro Shake dan pasukan, Teruskan perjuangan Marina,” ujarnya dalam kenyataan. – Roketkini.com