Rencana

Banyak negara Arab amal isytihar harta, Haji Hadi tak perlu takut

Kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menunjukkan sama ada dia tidak jujur dan sengaja mengelirukan kem penyokong beliau, atau beliau memang kurang bijak, berfikiran sempit dan sangat terpesong. 

Dengan menggunakan penipuan untuk mencetuskan tanggapan negatif terhadap pengisytiharan harta, adakah beliau membuat pelbagai alasan untuk menghalalkan kedegilannya untuk mengisytiharkan aset beliau? Adakah beliau mempunyai sesuatu yang hendak disembunyikan, dan (jika ya) berapa banyak?

Ataupun, beliau hanyalah seekor katak di bawah tempurung, yakni beliau hanya semberono menerima nasihat mengarut para penasihatnya; mereka yang menyuap beliau bahan politik yang tidak masuk akal demi mengapi-apikan sentimen kebencian dan keresahan kaum-agama?

Mesir, Maghribi, Palestin, Yaman, Libya, dan Tunisia adalah negara Muslim yang besar di rantau Arab dan tidak mengamalkan sosialisme atau komunisme oleh kerajaan dan pemerintahan mereka secara keseluruhan. 

Negara-negara ini juga mempunyai beberapa persamaan lagi selain demografi keagamaan mereka. Kesemua tujuh negara ini mewajibkan setiap ahli parlimen dan pegawai tinggi mereka untuk mengisytiharkan deposit bank dan pemilikan hartanah ketika memegang amanah jawatan awam. Kesemua mereka, kecuali Libya, malah mensyaratkan mereka untuk mengisytiharkan semua harta alih dan sekuriti berharga mereka.

Apakah Hadi menganggap kerajaan dan rakyat Mesir, Maghribi, Palestin, Yaman, Libya dan Tunisia komunis dan sosialis?

Saya menolak sistem komunisme. Cuma saya ingin jelaskan kepada Hadi sedikit pembetulan demi kebaikan. Dalam negara komunis yang sebenar, tiada pemilikan aset peribadi langsung kerana segala alat pengeluaran dan aset adalah pemilikan bersama. Justeru, kenapa pula mereka ada keperluan untuk pengisytiharan pemilikan harta peribadi, memandangkan dalam komunisme semua pihak memiliki semuanya? Oleh itu, dakwaan Hadi yang pengisytiharan harta itu adalah konsep komunis adalah merapu dan tidak masuk akal.

Sebagai mantan presiden Kesatuan Sosialis Muda Sedunia (pertubuhan politik anak muda terbesar dunia) dan pemegang mandat Ketua Sayap Sosialis Muda DAP Kebangsaan — keduanya meletakkan perkataan Sosialis dengan bangganya — saya layak untuk bercakap sama ada pengisytiharan adalah ‘Sosialis’ atau tidak. 

Ya, memang selari dengan nilai sosialis kerana ia mempromosikan nilai pemerintahan dan kepimpinan yang bersih, amanah dan ketelusan, malah kami bangga dengannya. Cuma sayang Hadi nampaknya alergik terhadapnya. – Roketkini.com

*Howard Lee adalah Ketua Sosialis Muda DAP Kebangsaan