Berita

‘Kemenangan saya bukti jelas DAP parti semua kaum, agama’ – Sheikh Umar

Sheikh Umar Baghrib Ali menganggap kemenangannya sebagai Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY) Johor sebagai bukti bahawa DAP adalah parti untuk semua bangsa dan agama. 

“Saya naik walaupun bukan Cina dan latar belakang pendidikan saya ialah Islam. Ini masanya untuk kita tunjukkan bahawa DAP untuk semua rakyat Malaysia,” katanya seperti dipetik portal The Malaysian Insight. 

Malah, katanya, penyertaan beliau ke dalam DAP selepas meninggalkan dunia aktivis PAS telah sedikit sebanyak memadam kepercayaan orang ramai bahawa DAP kononnya parti Cina. 

Beliau turut berharap DAPSY dapat diterima golongan muda daripada semua kaum dan agama. 

“Kebanyakan media menonjolkan saya Melayu pertama (memegang jawatan itu) tetapi saya berharap DAPSY akan dapat lebih banyak sokongan dan penerimaan golongan muda daripada semua kaum dan agama.”

“Sebenarnya dari awal pun, bila saya sertai DAP sebagai bekas aktivis PAS dan latar belakang pendidikan saya Islam, ia boleh dikatakan sebagai satu titik perubahan penting,” ujarnya. 

Tambahnya yang juga Adun Paloh, tugas berat menanti beliau untuk mengemudi DAPSY Johor, kerana sayap DAP itu kini mempunyai peranan yang lebih besar selaku parti kerajaan. 

“Pertama sekali, kita tahu tugas DAPSY ialah memupuk pemimpin generasi depan. Ini jalan yang akan kita teruskan.”

Sheikh Umar dilantik menjadi Ketua DAPSY Johor yang baharu setelah mendapat 31 undi dalam pemilihan sayap pemuda DAP itu, semalam.

Beliau menewaskan pencabarnya, Marina Ibrahim yang memperoleh dua undi. – Roketkini.com