Rencana

MP DAP sambut baik keputusan SPR

Saya merujuk kepada soalan parlimen saya bertarikh 1 Julai 2019. Saya mengalu-alukan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengembalikan pelantikan wakil-wakil parti politik sebagai Penolong Pendaftar Pemilih (PPP).

Pada tahun 2011, terdapat 5,720 PPP yang dilantik oleh SPR untuk membantu dalam urusan pendaftaran pemilih. Tetapi, pada tahun 2017, hanya tinggal 205 PPP sahaja kerana SPR yang lama tidak mahu melanjutkan atau membuat pelantikan yang baru, terutamanya dari kalangan wakil parti politik.

Kesannya, ramai rakyat Malaysia menghadapi masalah untuk mendaftar sebagai pemilih semasa pilihan raya umum yang lepas. Mereka terpaksa pergi ke pejabat pos atau pejabat SPR semasa waktu bekerja. Terdapat juga situasi di mana borang pendaftaran tidak mencukupi.

SPR juga telah memberikan data terkini mengenai pendaftaran pemilih dalam jawapan mereka kepada soalan saya. Pada tahun 2018, jumlah pemilih yang berjaya didaftarkan ialah seramai 216,705 pemilih. Untuk suku pertama tahun 2019 (Jan – Mac), jumlah pendaftaran hanyalah seramai 26,136 pemilih.

Kadar pendaftaran pemilih sebegini adalah terlalu rendah jika dilihat bersama dengan jumlah pemilih yang masih belum mendaftar. Pada ketika ini, dianggarkan terdapat lebih 4 juta pemilih yang layak tetapi masih belum mendaftar, iaitu melebihi 20% daripada jumlah pengundi yang layak.

Selain itu, usul untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun bakal dibentangkan di parlimen minggu ini. Jika diluluskan, perkara ini akan memberi kelayakan mengundi kepada 3.8 juta belia, dan oleh ini meningkatkan lagi jumlah pemilih yang tidak berdaftar.

 Anggaran pendaftaran pengundi

Jumlah pengundi berdaftar PRU14 14.9 juta
Jumlah pengundi sedia ada yang masih belum berdaftar 4.0 juta
Penambahan pengundi yang layak selepas penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun 3.8 juta

Maka, saya mengalu-alukan keputusan SPR untuk mengembalikan pelantikan PPP dari kalangan wakil parti politik. Keputusan ini ialah satu langkah positif untuk memudahkan urusan pendaftaran pemilih dan mengelakkan perdaftaran secara tergesa-gesa pada saat-saat akhir sebelum pilihan raya.

SPR juga menyatakan bahawa mereka sedang mengemas kini Standard Operating Procedure sebelum pelantikan tersebut dapat dilaksanakan. Perkara ini adalah penting untuk memastikan proses pendaftaran pemilih tidak dimanipulasi atau disalahgunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, sepertimana yang pernah berlaku sebelum ini.

Sememangnya, pelaksanaan sistem pendaftaran automatik adalah langkah terbaik untuk jangka masa panjang. Walaubagaimanapun, sementara kita menunggu pelaksanaan sistem perdaftaran automatik, SPR dan semua pihak perlu membantu mendaftarkan pemilih supaya mereka boleh menunaikan hak mengundi apabila tiba masanya. – Roketkini.com 

*Khoo Poay Tiong adalah Ahli Parlimen Kota Melaka