Rencana

Orang Melayu boleh masuk Hizbul-A’mal Ad-Dimuqratiy

Hujung minggu sudah, Exco Johor Sheikh Omar Ali berjaya dipilih sebagai Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) negeri Johor. Tajuk-tajuk utama portal berita, memaparkan beliau sebagai “Melayu pertama” jadi ketua pemuda DAP di Johor. Beliau menewaskan Marina Ibrahim, juga seorang Melayu.

Sheikh Omar mantan penuntut Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya di Nilam Puri, sebelum menjadi graduan usuluddin.

Terlihat bergambar dengan murabbi tarbiah PAS, Sheikh Omar ini bukan calang-calang orang dalam Persatuan Mahasiswa Islam Uni Malaya. Almarhum Ustaz Yahya Othman itu naqib usrahnya.

Antara lain, gambar bersama Ustaz Yahya itu menjadi andalan hujah kawan-kawan ketika Sheikh Omar dilantik masuk menjadi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) beberapa purnama lalu.

Serangan hadir bertali-arus, hanya kerana beliau seorang ahli politik dari parti DAP. Hanya kerana Sheikh Omar meninggalkan PAS dan memilih DAP, habis dituduhnya kafir harbi. Tunjuk gambar usrah, tertutuplah mulut jahat mereka.

Sebelum Sheikh Omar, DAP sudah pernah menyaksikan ketokohan allahyarham Fadzlan Yahya sebagai ketua DAPSY negeri Perak.

Fadzlan Yahya menang kerusi DUN Pasir Bedamar pada 1982 dan terus menjadi wakil rakyat kawasan itu selama dua penggal sebelum menang pula di DUN Lahat, pada 1990. Terkenal dengan pidatonya, beliau meninggal dunia pada September 2016.

Pada PRU14, DAP menghantar 10 calon Melayu. “Uih, ramainya,” kata sebahagian yang tidak kurang terkejut memikirkan bagaimana DAP boleh ada 10 calon Melayu.

Itu belum diberitahu bagaimana pada 1974, DAP mempunyai 38 calon Melayu.

“Wow! Biar betul,” kata anda, tidak percaya. Sabar dulu. Pada 1978, DAP menghantar 57 calon Melayu.

Nama-nama seperti Ibrahim Singgeh, Salleh Nakhoda Hitam, Daeng Ibrahim Othman, Ahmad Nor antara ramai yang menghiasi senarai kepimpinan DAP ketika itu.

Kembali ke era ini, kesemua 10 calon DAP yang dipertaruhkan pada PRU lalu menang belaka, kecuali seorang. Tengku Zulpuri menang di Raub dan jadi timbalan menteri. Dr Abdul Aziz Bari, Norhizam Hassan Baktee, Zairil Khir Johari dan Sheik Omar Ali masing-masing turut menang dan jadi EXCO kerajaan negeri. Yang lain-lainnya juga menang dan jadi Adun di kawasan masing-masing.

Justeru apabila muncul tajuk berita berbunyi “Melayu tiada pilihan selain Bersatu, PKR dan Amanah”, saya sedikit terganggu. Apa orang Melayu tidak boleh memilih untuk masuk DAP?

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa ketika memberi respons kepada pemberita tentang pelawaan Dr Mahathir Mohamad supaya orang Melayu menyertai parti Bersatu barangkali lupa kepada DAP. Tapi tak apa, ia membuka ruang untuk memberi pencerahan.

Pada zaman Malaysia Baharu ini, sepatutnya perlu wujud lebih banyak wadah pilihan untuk menyatakan pendirian politik. Bukan setakat UMNO atau PAS, atau PKR, Amanah mahupun Bersatu. Politik Malaysia pasca tersungkurnya UMNO tidak wajar terus tersekat dalam memilih satu antara dua. Yang demikian itu pemikiran politik Malaysia Tua.

Sebenarnya DAP boleh saja menjadi pilihan orang Melayu. Sepertimana ia dipilih oleh Syeikh Omar Ali, Syahredzan Johan, Young Syefura Othman dan ramai lagi. 

Itu pun ramai yang kata “tapi DAP ramai Cina”. Dah kenapa Melayu macam kamu tak masuk?

Ya, sebenarnya orang Melayu punya pilihan untuk menyertai DAP. Kalau namanya terlalu Inggeris, atau pemimpinnya terlalu Cina, nah, saya perkenalkan Hizbul-A’mal Ad-Dimuqratiy. 

Mungkin kalau namanya Arab, maka lerailah keresahan Melayu untuk mengetahui apa itu DAP di sebalik tirai momok politik yang ditebarkan UMNO selama ini. – Roketkini.com

*Izmil Amri adalah bekas pengarang Roketkini. Tulisan ini kali pertama disiarkan di portal The Malaysian Insight.