Rencana

Sheikh Umar kenang jasa, pengorbanan tokoh DAP terdahulu

Syukur ke hadrat Allah atas limpah kurnia dan nikmat kesihatan, kewarasan dan kesabaran yang diberikan kepada saya. 

Pertama sekali, ingin saya ucapkan ribuan terima kasih kepada wakil Sosialis Muda DAP (DAPSY) negeri Johor atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan kepada saya dalam sesi pemilihan Ketua Pemuda DAPSY Negeri.

Mandat yang diberi tentulah menuntut perubahan yang menyeluruh, bukan sahaja kepada sayap Pemuda, tetapi juga kepada parti DAP Johor secara keseluruhannya. Kemenangan ini bukanlah kemenangan berdasarkan kaum, tetapi ia adalah kemenangan anak Malaysia, anak Johor.

Kemenangan ini juga mengingatkan saya atas usaha-usaha serta pengorbanan wakil-wakil DAPSY yang terdahulu, yang telah bersusah payah menubuh dan menggerakkan sayap pemuda ketika zaman pembangkang lagi. Pastinya ketika itu, tugas mereka sangat sukar dan mencabar. Dengan penuh rendah diri, saya ucapkan tahniah dan terima kasih atas segala pengorbanan para pemimpin DAPSY terdahulu.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan yang paling dalam serta tabik hormat kepada almarhum Fadzlan Yahya (1950-2016). Beliau adalah wakil rakyat DAP yang telah memenangi kerusi DUN Pasir Bedamar di kawasan Teluk Intan pada Pilihan Raya 1982. Beliau dipilih sebagai Adun di kawasan itu selama dua penggal sebelum memenangi DUN Lahat, juga di Perak, pada tahun 1990. Almarhum turut memegang jawatan Naib Pengerusi DAP dan Ketua DAPSY di zamannya. Beliau turut dikenali sebagai seorang pemidato yang cukup lantang dan hebat.

Pada hemat saya dalam menekuni sejarah perjuangan parti, beliaulah seorang tokoh paling awal jika kita mahu menyebut sebagai ‘anak Melayu’ yang memimpin organisasi dan gerakan anak muda DAP.

Suka juga untuk saya nyatakan, tugas berat pastinya menanti saya selepas ini apatah lagi tuntutan yang cukup besar setelah menjadi salah satu parti gabungan dalam kerajaan. Ingin saya tegaskan bahawa, saya akan memegang dan melaksanakan amanah besar ini bukan sahaja untuk menunaikan janji tetapi juga membantu memastikan barisan pemuda Pakatan Harapan Johor terus terkehadapan dan menjadi tonggak utama kekuatan parti serta kerajaan.

Dari kemenangan ini, marilah kita terus merapatkan barisan pemuda dan menumpukan kepada usaha untuk mengukuhkan organisasi sayap pemuda agar segala cita-cita dan harapan untuk melihat perubahan itu akan tercapai.

Saya juga ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada Marina Ibrahim serta rakan-rakan yang turut sama bertanding dalam pemilihan DAPSY Johor kali ini. Kita akan bersama-sama merapatkan barisan untuk bekerja sebagai satu pasukan. – Roketkini.com

*Sheikh Umar Bagharib Ali adalah Ketua DAPSY Johor, Adun Paloh dan EXCO Johor.