Berita

Kerajaan Negeri Melaka sokong penuh turun had usia belia kepada 30 tahun

Kerajaan Negeri Melaka menyokong penuh Keputusan Kerajaan Persekutuan menurunkan had usia belia daripada 40 kepada 30 tahun.

Perkara itu dinyatakan Exco Komunikasi Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Melaka, Kerk Chee Yee dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kekurangan kepakaran dan pengalaman memimpin dalam kalangan orang muda tidak harus dijadikan alasan untuk menolak usaha menurunkan had usia belia tersebut. 

“Malah, memastikan bahawa pemimpin muda bersedia adalah sebab mengapa langkah (menurunkan had usia belia) itu perlu,” ujarnya. 

Katanya lagi, usaha untuk membantu golongan muda khususnya di negeri itu memerlukan penglibatan bukan sahaja pihak kerajaan, malah persatuan anak muda. 

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, sebelum ini dilapor berkata berkata penetapan umur bagi golongan belia dalam lingkuan 15 ke 30 tahun dapat memberi impak besar, khususnya peluang untuk belia menyerlah serta terbabit dalam pembangunan negeri mahupun negara.

“Justeru, kita menerima pakai penetapan umur ini sebagaimana ditetapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana peruntukan program disalurkan kementerian itu berpandukan kepada dasar Kerajaan Persekutuan.

“Di Melaka juga, kita mempunyai seorang pemimpin belia berusia 27 tahun, Kerk Chee Yee yang diangkat dalam pentadbiran negeri sebagai EXCO Komunikasi Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan negeri,” katanya seperti dipetik Berita Harian. 

Pada 3 Julai lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 688), yang bertujuan antaranya menurunkan had umur dalam takrif belia daripada 40 kepada 30 tahun.

Ia juga bertujuan mengadakan peruntukan bagi had umur minimum dan maksimum seseorang pemegang jawatan suatu pertubuhan belia berdaftar, dengan tidak kurang dari 18 tahun serta tidak lebih 30 tahun pada tarikh pelantikannya.

RUU itu dibentangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. – Roketkini.com