Rencana

Mengubah permainan politik dengan #Undi18

Cadangan menurunkan had umur mengundi ke usia 18 tahun oleh kerajaan Pakatan Harapan, bersekali dengan pendaftaran pengundi secara automatik yang diajukan oleh pembangkang, akan menjadi sebuah ‘game changer’, merubah bagaimana politik dan polisi diungkap dan dilaksanakan di Malaysia, buat selama-lamanya.

Usia muda ada kelebihannya: kurang bagasi sejarah dan justeru itu lebih berani.

Mereka yang memiliki pemikiran lama mungkin terganggu dengan desakan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya usia mengundi direndahkan, dalam keadaan kerajaan PH tidak mempunyai majoriti dua pertiga untuk meminda Perlembagaan.

Ada juga penulis yang menjaja idea perkauman, mendakwa tindakan itu akan menambah jutaan pengundi Melayu, lantas memberi kelebihan kepada Umno dan PAS, merugikan orang Cina dan India.

Tentu sekali, saya juga tertanya-tanya si bodoh mana yang menasihatkan Umno dan PAS untuk memberi cadangan balas kepada kerajaan supaya menyekalilakn pendaftaran pengundi secara automatik, yang terus dipersetujui oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Saddiq kerana telah mengusahakan perkara ini, dan saya berharap semoga pindaan Perlembagaan akan diluluskan di Dewan Rakyat esok, dan seterusnya diluluskan Dewan Negara.

Dengan jutaan anak muda berusia antara 18 ke 21 melayakkan diri sebagai pengundi pada 2023 apabila tiba masanya untuk pilihanraya seterusnya, kita sudah hampir pasti bahawa negara ini akan berpolitik dan berfikir tentang polisi dengan cara yang berbeza.

Pertama sekali, golongan termuda menjadi kumpulan pemegang taruh yang penting. Sekiranya pilihanraya diadakan pada 2023, hari ini lagi kita sudah harus mula berinteraksi dengan mereka yang berusia 14 tahun.

Politik Malaysia sudah terlalu biasa dengan budaya ‘top down’ dan ‘talk down’.

Anak muda hari ini belajar tentang dunia melalui YouTube dan internet.

Mereka mungkin belum mempunyai sudut pandang yang menyeluruh dan sofistikated mengenai dunia, tetapi adalah kontra produktif untuk kita melayani mereka seolah-olah mereka tidak tahu apa-apa.

Kita akan perlu bercakap dengan orang muda secara hormat dan memandang serius keluh kesah mereka seboleh mungkin.

Dengan keadaan remaja 14 tahun hari ini bakal menjadi pengundi berdaftar pada tahun 2023, ahli politik dan pihak pentadbiran akan harus mengambil kira kualiti dan peluang bagi pendidikan, pekerjaan, pengangkutan awam (memandangkan ramai anak muda tidak mampu memiliki kereta untuk kegunaan sendiri), sukan dan rekreasi.

Kedua, tiada lagi deposit tetap. Bagaimana Barisan Nasional dapat memerintah Malaysia untuk tempoh yang begitu lama?

Sebenarnya, Umno menang melalui kubu-kubunya dan menggunakan pelbagai cara untuk mencairkan nilai undi golongan lain.

Umno mendakwa mempunyai 3.5 juta ahli, manakala MCA mempunyai sejuta ahli. Selama ini, Umno mengundi dengan andaian bahawa selagi mana ahlinya mengundi calon-calon Umno dalam PRU, dan dengan syarat parti-parti pembangkang berpecah dan tidak bertindak sebagai sebuah barisan bersatu, Umno akan terus membentuk kerajaan.

Mereka juga mengandaikan bahawa penjawat awam, anggota polis dan angkatan tentera adalah deposit tetap. Kerana itu, Umno dan BN tidak pernah berminat untuk mengembangkan tapak sokongan mereka, kerana tindakan sedemikian akan mencairkan nilai pengundi totok mereka.

Pastinya Umno, MCA dan lain-lain parti akhirnya menyedari bahawa bilangan ahli tidak diterjemah ke nilai undi dalam pilihanraya umum. Malangnya, sudah terlambat.

Cara Umno mewujudkan tapak sokongan yang besar untuk partinya dan memikirkan tentang segala aspek hanya dari segi deposit tetapnya, tidak mendatangkan hasil dan sama sekali tidak akan berhasil lagi pada masa akan datang.

Sementara ada pihak-pihak dalam Pakatan yang mengeluh mereka tidak mempunyai deposit tetap, kita harus menerima bahawa kita tidak akan pernah memiliki tapak sokongan yang akan terus mengundi kita biar apa pun terjadi. Politik kini adalah tentang golongan pengundi yang tidak mempunyai sokongan tetap.

Ketiga, ini adalah bagus untuk merangka polisi. Bilangan mereka yang mengundi dalam PRU ke-14 adalah 82.23 peratus, atau 12,299,514 orang, daripada jumlah besar 14,940,624 orang.

Menurunkan had umur layak mengundi ke usia 18 tahun dan memperkenalkan pendaftaran pengundi automatik bermakna tapak bilangan pengundi akan bertambah luas. Saya tidak akan terkejut kalau bilangan pengundi mencecah 20 juta tidak lama lagi.

Di masa dahulu, Umno hanya perlu menjaga pemimpin Umno akar umbi, yang akan seterusnya meyakinkan lingkungan sanak saudara dan penyokongnya. Tidak ada keperluan untuk berbincang tentang polisi. Selalunya, politik adalah soal naungan dan habuan bersasar.

Mustahil nak rasuah 20 juta pengundi secara sekaligus.

Mantan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak ada membuat cubaan sedemikian. Beliau cuba memberi habuan kepada beberapa kumpulan secara bersegmen.

Namun, sampai suatu tahap, orang ramai menyedari bahawa tindakan memberi habuan tunai kepada 60 peratus keluarga di seluruh negara adalah satu cara yang pelik untuk menangani kebimbangan ekonomi. Soalan polisi yang harus ditanya ialah kenapa 60 peratus populasi dilihat memerlukan bantuan ekonomi?

Melebarkan tapak bilangan pengundi ertinya politik sudah tidak lagi berkisar soal habuan; politik harus berkisar soal polisi awam.

Kita akan harus berbahas soal pekerjaan, penjagaan kesihatan, pendidikan, pertahanan dan sebagainya dan membuat keputusan-keputusan kolektif.

Keempat, mengiktiraf bahawa sebenarnya kita agak urban.

Menjelang 2017, saya sudah meramalkan bahawa BN akan kehilangan kuasa di Johor, tapi orang ketawakan saya.

Ramalan saya itu berdasarkan fakta bahawa walaupun begitu banyak kerusi di Johor itu adalah dianggap kerusi semi-urban atau luar bandar, hampir separuh pengundinya menetap di Kuala Lumpur atau di Singapura. Sementara Umno dan MCA adalah parti yang memberi khidmat cemerlang di luar bandar, perubahan demografi telah mengasingkan akar umbi daripada mereka.

Menurunkan usia mengundi ke 18 tahun beserta pendaftaran automatik akan menunjukkan kepada semua orang bahawa Malaysia sebenarnya adalah sebuah negara yang sangat urban, dan sebahagian besar perbahasan dan andaian dasar awam sedia ada sudah terkebelakang.

Kelima, berakhirnya politik perkauman. Saya mengesyaki Umno dan PAS masing-masing mencadangkan pendaftaran pengundi secara automatik di atas dasar bahawa lebih ramai pengundi Melayu akan menyertai daftar pemilih, justeru itu memberi kelebihan kepada mereka.

Saya ingin cadangkan kepada Umno dan PAS bahawa mereka juga patut cadangkan pengundian wajib, sekiranya itulah garis pemikiran mereka.

Saya berpendapat bahawa apabila semua orang dalam lapangan politik menyedari bahawa dengan kemasukan beramai-ramai pengundi muda yang tidak mempunyai pendirian tetap dan kesetiaan politik tetapi sudah cukup terdedah melalui media sosial; perlawanannya nanti sudah bukan soal kaum.

Perlawanan polisinya nanti adalah soal pekerjaan, perumahan, penjagaan kesihatan, pengangkutan awam dan mobiliti sosial. Pakatan mungkin tidak mempunyai kelebihan dalam keadaan politik yang sama sekali baharu ini, tetapi Umno – di bawah Najib dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pastinya bukan pilihan generasi akan datang.

Memberi hak mengundi kepada golongan berusi 18 tahun, bersekali dengan pendaftaran automatik adalah suatu kemajuan institusi yang sudah dilengahkan terlalu lama demi kematangan Malaysia. Adalah menjadi harapan saya supaya pindaan-pindaan ini akan diluluskan oleh Parlimen. – Roketkini.com

*Diterjemah daripada rencana bertajuk ‘Undi 18 a game changer’ disiarkan The New Straits Times pada 14 Julai 2019 https://www.nst.com.my/opinion/columnists/2019/07/504299/undi-18-game-changer