Rencana

RUU IPCMC wajar lalui proses rundingan awam sebelum diluluskan

Saya merujuk kepada laporan media bahawa Kerajaan Malaysia telah membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 di Dewan Rakyat pada 18 Julai 2019.

Saya menyambut baik langkah ini yang membuktikan iltizam politik Kerajaan Malaysia untuk akhirnya menjadikan penubuhan IPCMC suatu realiti selepas 14 tahun ianya disyorkan oleh Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia pada tahun 2005.

RUU IPCMC yang dibentangkan nampaknya telah mengguna pakai hampir kesemua syor-syor Suruhanjaya Diraja tersebut berkenaan dengan badan pemantau polis, termasuklah berkenaan dengan keanggotaan dan kuasa badan tersebut. Namun demikian, adalah terlalu awal untuk menentukan sama ada RUU tersebut menepati keperluan sebuah badan pemantau bebas yang benar-benar berkesan.

Oleh kerana RUU tersebut dibentangkan pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat, ia memberi peluang kepada rakyat, masyarakat madani dan pemegang taruh lain untuk memberi maklum balas mereka terhadap RUU tersebut. Kerajaan wajar mengadakan sesi rundingan awam dan maklum balas mengenai RUU tersebut, dan bersedia untuk mempertimbangkan apa-apa kritikan atau cadangan penambahbaikan ke atas RUU itu. 

Saya percaya bahawa RUU IPCMC ini seharusnya melalui proses rundingan awam ini supaya ia dapat mewujudkan sebuah badan yang benar-benar bebas dan dapat memantau tindakan dan keputusan pihak polis dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

Saya juga ingin menggesa Kerajaan Malaysia supaya memperhalusi syor-syor Suruhanjaya Diraja tersebut berkenaan dengan kebajikan anggota polis bagi menentukan sama ada syor-syor tersebut telah dilaksanakan dalam masa 14 tahun sejak ia diketengahkan.

Antara syor-syor yang dibuat adalah berkenaan dengan tempat kediaman polis, kenderaan polis, elaun khas kehidupan di bandar-bandar besar dan merangka perancangan karier bagi semua anggota polis.

Sebelum ini juga, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador telah menzahirkan hasrat untuk memastikan kebajikan anggota polis yang kebanyakan berpendapatan sederhana diberi perhatian oleh Kerajaan, setimpal dengan pengorbanan pasukan keselamatan itu.

Dalam kita memberi tumpuan kepada IPCMC, kita juga tidak harus melupakan tentang isu kebajikan pihak polis. Ini dapat mewujudkan suatu pasukan polis yang unggul dan menghormati hak asasi manusia, dan menjalankan tugas mereka dalam keadaan kebajikan mereka terjaga. – Roketkini.com

*Syahredzan Johan adalah Setiusaha Politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri