Berita

‘Saya pernah pelajari sendiri tulisan jawi ketika ditahan ISA’ – Kit Siang

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang hari ini mendedahkan bahawa beliau pernah mempelajari sendiri tulisan Jawi semasa ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1969.

Katanya, usaha beliau mempelajari tulisan tersebut tidak menjadikan beliau “kurang Cina” sebaliknya mengukuhkan jati dirinya sebagai seorang rakyat Malaysia. 

“Soalan lain yang mungkin akan ditanya sama ada seseorang yang mempelajari jawi itu mengkhianati kaum, bahasa dan budaya Cina. 

“Bagi saya, jawapannya tidak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menteri Pendidikan, Maszlee Malik dalam wawancara bersama portal Malaysiakini, semalam, menegaskan langkah kementerian itu memperkenal tulisan khat dalam sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu Darjah 4 bukan bertujuan mewujudkan proses Islamisasi di sekolah vernakular.

Katanya lagi, masyarakat tidak harus melihat pengenalan Jawi sebagai suatu bentuk asimilasi budaya sebaliknya sebagai usaha untuk mengenali warisan dan identiti negara. 

Tambah Maszlee, kerajaan tidak mengarahkan pembelajaran tulisan Jawi secara menyeluruh, malah ia turut tidak dimasukkan dalam mana-mana peperiksaan.

Mengulas lanjut, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar berkata, beliau sentiasa menyokong integrasi, namun berpandangan terdapat kaedah pembentukan negara yang lebih baik iaitu masyarakat majmuk hidup bersebelahan tetapi berasingan di bawah satu sistem politik yang sama. 

Tambahnya lagi, beliau tidak bersetuju jika masyarakat majmuk di negara ini terperuk dalam kelompok masing-masing, sebaliknya menegaskan bahawa mereka perlu saling berinteraksi, mempelajari, menghargai dan menerima hakikat bahawa Malaysia mempunyai kepelbagaian kaum. – Roketkini.com