Berita

Tukar agama anak bawah umur secara sepihak bertentangan Perlembagaan Persekutuan

Cadangan membolehkan kanak-kanak bawah umur menukar agama dengan kebenaran secara sepihak iaitu ibu atau bapa adalah bertentangan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dan Perlembagaan Persekutuan.

Menurut peguam Ramkarpal Singh, Mahkamah Persekutuan pada tahun lalu secara jelas menyatakan bahawa pertukaran agama anak yang belum mencapai umur 18 tahun memerlukan persetujuan ibu dan bapa.

“Kecuali jika keputusan itu dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan atau berlaku pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan, selagi itu undang-undang negeri terikat dengan keputusan yang sama.

“Oleh itu, tidak ada gunanya untuk berbahas sebuah rang undang-undang (RUU) yang jelas tidak berpelembagaan di Dewan Negeri Selangor,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Ramkarpal berkata demikian mengulas pandangan seorang peguam bahawa RUU pindaan enakmen negeri Selangor berkaitan penukaran agama sepihak harus dibentangkan di DUN meskipun ia bertentangan dengan keputusan mahkamah dan Perlembagaan Persekutuan. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun tidak ada sekatan dalam membahaskan RUU tersebut, ia dilihat membazir masa kerana cadangan itu jelas tidak mengikut perlembagaan dan keputusan mahkamah.

Malah, katanya lagi, ia akan mewujudkan “ketidakpastian yang tidak perlu” di Selangor jika diluluskan.

Mahkamah Persekutuan pada 29 Januari lalu memutuskan penukaran agama tiga anak guru tadika, M Indira Gandhi hampir 10 tahun lalu kepada Islam adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin membuat keputusan sebulat suara selepas membenarkan rayuan akhir dibuat Indira berhubung kesahihan penukaran agama tiga anaknya iaitu Tevin Darsiny,21, Karan Dinish,20 dan Prasana Diksa 9, kepada Islam.

Menerusi 99 mukasurat penghakiman yang dibacakan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali, mahkamah memutuskan persetujuan kedua-dua ibu bapa adalah perlu untuk penukaran agama anak sebelum Sijil Perakuan Memeluk Islam dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf.

Tambahnya, pihaknya berpendapat bahawa Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa untuk menjalankan kuasa penyeliaannya bagi memutuskan aduan yang dibuat oleh perayu terhadap tindakan pentadbiran Pendaftar Mualaf dalam mengeluarkan Sijil Perakuan Memeluk Islam itu.

Katanya, pihaknya mendapati bahawa Pendaftar Mualaf tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan sijil penukaran agama kanak-kanak kepada Islam kerana tidak mematuhi Seksyen 96 (1) dan 106 (b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak 2004. 

“Seksyen ini masing-masing menetapkan seseorang mesti mengucapkan dua kalimah syahadah dalam bahasa Arab secara jelas dan dengan kerelaan sendiri, manakala kanak-kanak yang belum mencapai umur 18 tahun boleh memeluk Islam jika mendapat kebenaran bertulis daripada ibu bapa atau penjaga.

“Dalam menguatkuasakan peruntukan undang-undang enakmen ini, mahkamah tidak perlu untuk menyiasat prinsip undang-undang syariah atau untuk menyelesaikan isu undang-undang doktrin yang timbul daripada perkara ini.

“Kami juga mendapati bahawa sijil penukaran dikeluarkan tanpa persetujuan perayu dengan demikian melanggar Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 5 dan 11 Akta Penjagaan Kanak-Kanak 1961 (GIA). Sijil penukaran itu tidak sah dan mesti diketepikan.

“Atas alasan yang dinyatakan di atas, kami membenarkan ketiga-tiga rayuan oleh perayu. Keputusan majoriti dan perintah Mahkamah Rayuan kini diketepikan. Kami mengesahkan keputusan ini dan perintah Mahkamah Tinggi, tanpa sebarang kos,” katanya.

Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo dalam kenyataan kenyataan semalam, menegaskan bahawa parti tidak akan menyokong sebarang RUU yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. 

“Sebarang cubaan untuk memperkenalkan undang-undang yang membenarkan seberang penukaran agama sebelah pihak di Selangor tidak mengikut perlembagaan kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Mahkamah Persekutuan dalam kes M Indira Gandhi jelas memutuskan bahawa perkataan ibu bapa dalam Perlembagaan Persekutuan bermakna kedua-dua ibu bapa.

“Oleh itu, hak individu bagi kedua-dua ibu bapa untuk membuat keputusan mengenai agama anak-anak mereka yang di bawah umur kini dijamin oleh perlembagaan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Puchong. 

Katanya, Perlembagaan Persekutuan adalah tertinggi dan mengatasi mana-mana peruntukan undang-undang lain yang tidak selaras dengannya. – Roketkini.com