Rencana

Pengenalan tulisan Jawi bukan agenda Islamisasi

DAP sentiasa mengambil pendekatan dialog dalam menyelesaikan sesuatu isu yang berbangkit, sesuai dengan sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini. Setiap pihak diberi ruang untuk melontarkan pandangan mahupun saranan demi mencapai kesepakatan bersama yang kemudiannya dijelaskan kepada umum.  

Langkah ini juga yang diambil DAP dalam meredakan polemik berkaitan isu pengenalan tulisan jawi dalam tiga muka surat buku teks mata pelajaran Bahasa Malaysia Darjah Empat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT). 

DAP merupakan parti berbilang kaum yang mempunyai keahlian daripada orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, dan Orang Asli. Menjadi tugas untuk DAP juga, yang kini sebahagian daripada kerajaan persekutuan, menjelaskan kepada penyokongnya mengenai sesuatu isu atau dasar yang dibawa oleh parti dan dalam konteks ini – kerajaan. 

Polemik pengenalan tulisan jawi ini sedikit mengusarkan masyarakat Cina dan India. Ini berlaku berikutan terdapat dakwaan bahawa ia kononnya adalah agenda Islamisasi. 

Pun begitu, para cendiakawan dan ahli akademik menegaskan sebaliknya. Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Dr Mohd Faizal Musa dalam artikel bertajuk ‘Mayat Jawi yang belum dikafan dan muruku ikan Popo’ di portal berita FMT pada 8 Ogos lalu menjelaskan secara terperinci tentang asal usul jawi serta penggunaannya. 

Jelas Dr Faizal: “Tulisan Jawi digunakan oleh raja-raja Melayu kepada penjajah dalam surat-menyurat mereka. Malahan hikayat lama yang tepu unsur kehinduan seperti Sri Rama pun menggunakan tulisan Jawi. Hikayat Hikamat mengenai seorang Melayu masuk Kristian pun ditulis dalam Jawi. Saya menyimpan berpuluh novel dan erotika lagi lucah dekad 1940an-1960an yang ditulis dalam tulisan Jawi.”

Dengan penjelasan itu, maka tidak seharusnya timbul dakwaan bahawa tulisan jawi adalah agenda Islamisasi. Ini kerana tulisan jawi (abjad sepertimana ABC) digunakan dalam hampir setiap aspek kehidupan rakyat negara ini sehinggalah kerajaan mengambil keputusan untuk menukar penggunaan tulisan jawi kepada rumi pada 1963. 

Penjelasan yang sama juga cuba dibawa oleh Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi berhubung polemik berkenaan. Tujuan beliau murni, iaitu untuk menjelaskan bahawa pengenalan tulisan jawi bukanlah agenda Islamisasi seperti yang digembar-gemburkan sesetengah pihak. 

Namun, penjelasan Shu Qi disalah tafsir dan diambil di luar konteks oleh pihak yang sengaja mahu menambah dan menghidupkan lagi bara perkauman. Usaha beliau dalam menjernihkan polemik ini harus dipuji dan disokong. Mengherdik dan mencaci atas alasan contoh yang diberikan beliau itu tidak sesuai hanya akan menambahkan lagi prasangka dan curiga. 

Kata-kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang wajar dijadikan renungan: “Orang Cina, Melayu dan India takut satu sama lain dan hidup dalam ketakutan. Kita mesti mempunyai keyakinan untuk membina Malaysia yang hebat bersama-sama.

“Kita berada dalam keadaan di mana orang Melayu takut orang Cina dan Cina takut Melayu. Dulu, DAP dituduh cuba menghancurkan orang Melayu dan sekarang DAP dituduh mengkhianati orang Cina.

“Kita perlu keluar dari (perspektif) ini. Budaya kita tidak boleh hilang begitu mudah … Jika hanya tiga muka surat (pengenalan tulisan Jawi) boleh membuat budaya Cina hilang, maka saya fikir ada yang tak kena.” – Roketkini.com