Dua perayaan iaitu Hari Kebangsaan ke-62 pada 31 Ogos dan Hari Malaysia ke-56 pada 16 September sepatutnya menjadi peristiwa yang menyemai keyakinan di kalangan rakyat Malaysia terhadap masa depan negara, bahawa Malaysia kini akhirnya di landasan yang tepat untuk menjadi sebuah negara yang unggul di mata dunia berteraskan perpaduan, kebebasan, keadilan, kecemerlangan dan integriti.
Ini adalah peristiwa yang perlu menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia dengan keyakinan bahawa Malaysia – sebuah negara yang menjadi pertembungan empat peradaban hebat iaitu Islam, Cina, India dan Barat – mampu menjadi wadah “Kesatuan Peradaban” yang berjaya di dunia, sekaligus menafikan ramalan bahawa kononnya akan bermula era “Konflik Peradaban” pada abad ke-21.
Pun begitu, sepanjang bulan keraian ini, kerajaan Pakatan Harapan di Putrajaya menghadapi pelbagai kesukaran dan cabaran dalam menangani empat isu besar yang berbangkit iaitu isu rakaman video, tulisan Jawi di sekolah rendah Cina dan India, Zakir Naik dan Linas, yang disatukan untuk memberi gambaran bahawa kononnya kerajaan PH kini diambang kemusnahan.
Sehinggalah Presiden UMNO, Ahmad Zahid, menyebut tentang “kelemayuh politik” dalam Pakatan Harapan — yang tidak wujud — memberikan sedikit kelegaan selepas sebulan menghadapi publisiti negatif.
“Kelemayuh politik”? Siapa sebenarnya yang terkesan dengan fenomena ini?
Jika bukan UMNO dan Barisan Nasional (yang terkesan), mengapa mereka ditendang keluar dari tampuk kuasa pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 lalu? Walaupun Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO/BN ketika itu dengan yakinnya berkata bahawa mereka akan sekali lagi mendapat mandat untuk mentadbir, malah memperolehi dua pertiga majoriti di Parlimen.
Jika bukan kerana “kelemayuh politik”, mengapa tidak ada seorang pun Menteri Kabinet atau pemimpin BN menjangkakan yang mereka akan kehilangan kuasa pada PRU14?
Jika bukan kerana “kelemayuh politik”, mengapa Zahid terpaksa bercuti daripada jawatan presiden UMNO pada 18 Disember 2018? Selepas beliau merujuk kepada keadaan memalukan yang sedang dihadapi UMNO dan dimalukan dan ditolak dalam mesyuarat yang dihadirinya.
Jika bukan kerana “kelemayuh politik”, mengapa Zahid terpaksa bercuti daripada jawatan presiden UMNO pada 18 Disember 2018 selepas dikenakan 47 tuduhan rasuah dan kembali menjalankan tugas selepas mengumpul 87 tuduhan rasuah pada 30 Jun 2019?
Jika bukan kerana “kelemayuh politik”, mengapa Zahid dikenakan 87 pertuduhan jenayah dan dinobatkan sebagai “Raja tuduhan jenayah” kerana “berjaya” mengatasi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dikenakan 42 pertuduhan di mahkamah.
Jika bukan kerana “kelemayuh politik”, mengapa penulis Ramesh Rajaratnam dalam artikel di Malaysiakini semalam meramalkan sepuluh perkara yang mungkin akan berlaku dalam tempoh 90 hari “jika syaitan lama dilantik semula untuk mentadbir kerajaan”, iaitu:
- Semua ketua penguatkuasa seperti Peguam Negara, Tommy Thomas dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya akan digantikan dengan pengampu UMNO.
- Semua kes membabitkan ahli politik UMNO (dan isteri-isteri mereka) akan digugurkan atau ditarik balik dengan alasan-alasan dangkal.
- Ahli perniagaan dalam pelarian, Low Taek Jho akan diberikan gelaran ‘Tan Sri’ dan semua pertuduhannya digugurkan.
- 1MDB akan dihidupkan semula dan kali ini, bukan RM40 bilion, tetapi RM400 bilion akan diselewengkan.
- Semua pihak yang menentang BN akan diburu dan dituduh. Thomas dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng akan meringkuk dalam penjara.
- Zakir Naik akan dijadikan warganegara dan diberikan gelaran “Tun”
Jika bukan kerana “kelemayuh politik”, mengapa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini berkata pemimpin cawangan UMNO “semakin bodoh”?
Jika bukan kerana “kelemayuh politik”, mengapa tidak Menteri UMNO dan pemimpin-pemimpin mereka menghentikan skandal 1MDB sebelum PRU14 daripada memaksa menteri, menurut kenyataan dalam mahkamah, untuk menipu tentang skandal 1MDB?
Jika bukan kerana “kelemayuh politik”, mengapa UMNO tidak bertindak sejak 9 Mei 2018 untuk mengutuk dan menjarakkan diri mereka daripada skandal 1MDB dan skandal rasuah yang lain termasuk Felda, Tabung Haji dan Mara?
Jika bukan kerana “kelemayuh politik”, mengapa UMNO terlibat dalam kempen memalukan “Malu Apa Bossku”?
Jika bukan kerana “kelemayuh politik”, mengapa UMNO menjadi pengasas kesatuan klepto-teokrasi?
Jika bukan kerana “kelemayuh politik”, mengapa pemimpin UMNO memainkan politik penipuan, fitnah, berita tidak benar dan ucapan kebencian, melaga-lagakan kaum dengan kaum, agama dengan agama, menimbulkan keraguan, rasa tidak percaya, kesangsian, ketakutan dan kebencian yang menyentuh 3R, Race (Kaum), Religion (Agama) dan Royalty (Raja) – sebagai contoh, mendakwa kononnya orang Melayu hilang kuasa politik?
Jika bukan kerana “kelemayuh politik”, mengapa, mengapa, mengapa…. Saya boleh teruskan tetapi rasanya tidak perlu, dan saya akan menunggu jawapan daripada Zahid.
Ternyata, daripada ucapan Zahid, pemimpin UMNO memang mahu Pakatan Harapan terkesan dengan “kelemayuh politik” dan kita harus membuktikan bahawa mereka salah. Ini adalah peperangan persepsi.
Dalam tempoh tujuh bulan mentadbir kerajaan baharu, kerajaan PH dilihat tidak boleh melakukan sebarang kesalahan dan PH menang empat pilihan raya kecil – Sungai Kandis, Balakong, Seri Setia dan Port Dickson.
Dan kemudian perubahan berlaku dalam lanskap politik di mana PH dilihat tidak boleh melakukan apa-apa pun dengan betul dan PH kalah dalam tiga pilihan raya kecil – Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau.
Euforia yang dicetuskan oleh kemenangan PH dan Warisan dalam PRK Sandakan pada 11 Mei dan ulang tahun pertama kerajaan Pakatan Harapan dengan tema “kemakmuran bersama” mengubah arah perang persepsi, tetapi ia tidak bertahan lama, kerana PH dilanda dengan empat isu yang mana mencetuskan persepsi salah kononnya kerajaan Pakatan Harapan diambang kemusnahan.
Pakatan Harapan harus mengambil maklum terhadap kekecewaan sebahagian besar penyokong PH yang telah menyokong kita dan mereka percaya bahawa kerajaan Pakatan Harapan di Putrajaya sudah terikut-ikut dengan perangai lama kerajaan UMNO/BN.
Mereka salah, tapi apa yang lebih penting adalah PH perlu menjelaskan dan menyakinkan penyokong PH bahawa PH sebenarnya tetap komited dalam menetapkan semula proses pembinaan negara untuk membina sebuah Malaysia Baharu sebagai sebuah negara cemerlang yang bertaraf dunia berteraskan perpaduan, kebebasan, keamanan, kecemerlangan dan integriti.
Kita mempunyai permulaan yang agak baik sepanjang 16 bulan yang lalu dalam misi membina sebuah Malaysia Baharu di mana Malaysia mampu menjadi sebuah negara bertaraf dunia dalam setiap bidang kegiatan manusia.
PH telah melakukan beberapa lantikan penting dalam merintis jalan untuk mereformasi institusi, politik dan demokrasi untuk Malaysia Baharu, termasuk:
- Pelantikan Tengku Maimun Tuan Mat sebagai Ketua Hakim, menggantikan Richard Malanjum yang bersara pada 2 April.
- Datuk Mohamad Ariff Md Yusof sebagai Speaker Parlimen.
- Tommy Thomas sebagai Peguam Negara
- Azhar Azizan Harun atau Art Harun sebagai Pengerusi dan Dr. Azmi Sharon sebagai Naib Pengerusi SPR
- Hamid Bador sebagai Ketua Polis Negara
- Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus sebagai Gobenor BNM
- Zulkifli Zainal Abdin sebagai Panglima Angkatan Tentera
- Ismail Bakar sebagai Ketua Setiausaha
- Syed Zaid Albar sebagai Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti
- Nik Azman Nik Abdul Majid sebagai Ketua Audit Negara
- Tan Sri Abdul Kassim Ahmad sebagai Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC).
- Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.
475 hari selepas pertukaran kerajaan yang bersejarah pada 9 Mei 2018, sudah tiba masanya untuk kita menyemak semula janji Pakatan Harapan untuk Malaysia Baharu dan Manifesto Pakatan Harapan.
Majlis Presiden Pakatan Harapan pada mesyuarat lalu memutuskan untuk melakukan semakan tersebut.
Mari sama-sama kita mengatasi puak pemisah dan perpecahan yang mahu memecah-belahkan Malaysia dan bersatu untuk membina sebuah Malaysia Baharu yang bertaraf dunia yang berteraskan perpaduan, kebebasan, keadilan, kecemerlangan dan integriti.
Rakyat Malaysia harus mengambil tempat dalam misi agung untuk membina sebuah Malaysia Baharu berdasarkan lima janji utama Pakatan Harapan dalam manifesto PRU14 iaitu:
- Meringankan beban rakyat;
- Reformasi institusi dan politik;
- Menjana pembangunan yang mampan dan saksama;
- Pemulihan taraf Sabah dan Sarawak seperti mana yang diperuntukan dalam Perjanjian Malaysia 1963, dan;
- Mencipta Malaysia Baharu yang inklusif, moderat, dan dipandang tinggi di mata dunia.
Ada sesetengah pihak yang menjangkakan kerajaan Pakatan Harapan di Putrajaya, sebuah gabungan empat parti dengan sejarah, ideologi, dan hala tuju yang berbeza, tidak mampu untuk bertahan lebih daripada beberapa bulan, tetapi kita telah membuktikan bahawa mereka salah.
Pihak yang membuat ramalan itu kini berharap Pakatan Harapan dijangkiti “kelemayuh politik” sehingga lumpuh.
Pemimpin PH harus buktikan bahawa ramalan itu juga salah.
Malaysia kini di persimpangan – untuk bergerak ke hadapan menjadi negara bertaraf dunia dengan memanfaatkan nilai dan kualiti terbaik daripada pelbagai tamadun yang bertumpu di Malaysia untuk membina sebuah bangsa Malaysia yang dihormati di mata dunia atau menuju kearah sebuah negara gagal, penyangak, kleptokratik yang obses dengan politik perkauman dan keagamaan yang memecah belah.
Kerajaan Pakatan Harapan di Putrajaya mampu bertahan selama 16 bulan meskipun menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan, kontradiksi dan kontroversi, dalam membina sebuah Malaysia Baharu. Namun ujian besar menantinya, ia harus tetap cekal, bersatu dan teguh dengan cabaran besar membina sebuah Malaysia Baharu dalam tempoh lima tahun dan seterusnya memenangi PRU16, kerana misi membina Malaysia Baharu memerlukan lebih dari satu kitaran pilihan raya untuk disempurnakan.
Bolehkah Malaysia, sebelum PRU16 pada tahun 2028, mencapai matlamat tersebut?
Moga ini menjadi impian semua rakyat Malaysia dan satu cabaran buat mereka untuk memenuhi Impian Malaysia.
Sebagai permulaan, kita harus sedar tentang kepincangan di era internet, di mana berita tidak benar dan ucapan kebencian boleh teradun membentuk “realiti baharu” yang mana bertentangan sama sekali dengan hakikat dan fakta sebenar.
Ini sebabnya mengapa selepas lima minggu kontroversi berhubung pengenalan tulisan Jawi di sekolah rendah Cina dan India, 95% orang Cina dan India masih belum menyedari bahawa sudah bertahun-tahun terdapat pelajaran tentang tulisan jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia Darjah 5 dan kurikulum edisi semakan untuk memperkenalkan tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia Darjah 4 diputuskan oleh MCA, Gerakan, MIC, SUPP dan UMNO pada September 2015.
Kini, pemimpin MCA, Gerakan, MIC dan SUPP antara paling lantang menentang pengenalan tulisan Jawi di sekolah rendah Cina dan Tamil, walaupun keputusan ini diambil oleh menteri mereka pada empat tahun lalu pada tahun 2015, untuk diterapkan dalam buku teks edisi semakan dari tahun 2017 hingga 2022.
Kontroversi subjek Jawi adalah legasi kerajaan terdahulu, kerana keputusan akhir berhubung perkara itu diputuskan oleh jawatankuasa yang dipengerusikan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan dihadiri oleh dua Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Chong Sin Woon (MCA) dan P. Kamalanathan (MIC) dalam mesyuarat pada 21 September 2015.
Selepas itu ia menjadi perkara pentadbiran bahagian berkaitan dalam Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan keputusan dasar itu.
Jika tidak berlaku pertukaran kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018, pelaksanaan keputusan Kementerian Pendidikan berhubung kokurikulum baharu pada September 2015 itu mungkin akan menghasilkan “Tiga Kehendak” dalam buku teks terbaharu untuk Tahun Empat sekolah rendah Cina dan Tamil – iaitu wajib, ada peperiksaan dan wajib untuk murid belajar Jawi.
Kini “Tiga Kehendak” telah menjadi “Tiga Pengecualian” – Tidak wajib, tidak perlu peperiksaan dan tidak perlu mempelajari/menulis tulisan jawi tetapi hanya sekadar pengenalan.
Terdapat teori konspirasi yang mengatakan kontroversi Jawi dan Zakir Naik direka oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memenuhi tujuan politiknya, sedangkan kedua-dua isu itu adalah hasil daripada legasi kerajaan terdahulu.
Kini timbul pula cerita dongeng bahawa kononnya kerajaan PH berperangai seperti kerajaan lama UMNO/BN, malah kononnya dijangkiti “kelemayuh politik”.
Pemimpin Pakatan Harapan harus berkerja keras membuktikan bahawa semua ramalan itu salah! – Roketkini.com
*Kenyataan Media oleh Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri Lim Kit Siang di Gelang Patah pada Isnin, 26 Ogos 2019.