Berita

Lepas fitnah pemimpin DAP, Azwanddin mohon maaf dan kena bayar RM40,000

Pengerusi Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah hari ini, memohon maaf kepada Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong susulan kenyataan fitnah yang dikeluarkannya tahun lalu. 

Azwanddin turut diperintah oleh mahkamah untuk menerbitkan permohonan maaf itu di beberapa portal berita, laman sesawang JMM dan Facebook milik beliau. 

Beliau turut diarahkan membayar sebanyak RM40,000 kepada Chin Tong yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan. 

Ini dinyatakan dalam dokumen persetujuan mahkamah yang ditandatangani kedua-dua belah pihak di hadapan hakim, Azimah Omar.

Azwanddin menerusi hantaran Facebook pada 30 Oktober 2018, memfitnah Chin Tong kononnya mengenakan pakaian “seragam komunis” meskipun ia sebenarnya baju korporat bush jacket yang disediakan Kementerian Pertahanan.

Azwanddin turut memuat naik artikel fitnah di laman sesawang JMM pada 19 November tahun lalu bertajuk ‘Kementerian Pertahanan Kini Berada Dalam Tekanan Dan Ancaman’.

Chin Tong ketika ditemui di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, berkata, beliau berharap orang ramai mengambil iktibar dan tidak terus meniup sentimen perkauman. 

“Menjelang Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia adalah wajar untuk kita semua menganggap bahawa semua kita adalah anak Malaysia. 

“Dan sesiapa yang berkhidmat di dalam kerajaan — tidak kira bangsa — kami berkhidmat untuk semua rakyat Malaysia,” katanya. – Roketkini.com