Rencana

NFCP dapat ‘lampu hijau’ kabinet

  • Pelan 5-tahun ini akan memacu pembangunan infrastruktur digital untuk meningkatkan daya saing Malaysia 
  • Selaras dengan inisiatif Kemakmuran Bersama, kerajaan memberi penekanan seimbang kepada kawasan bandar dan luar bandar untuk mengurangkan jurang digital 
  • Anggaran kos pelaksanaan NFCP sebanyak RM21.6 billion dijangka memberi impak yang positif kepada ekonomi negara 

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) ingin mengumumkan bahawa pelaksanaan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara atau National Fiberisation and Connectivity Plan (NFCP) telah dipersetujui Jemaah Menteri. 

Pelan 5 tahun (2019 – 2023) ini yang dianggarkan berjumlah RM21.6 bilion bertujuan menyediakan kesalinghubungan digital yang mampan, menyeluruh, berkualiti tinggi dan mampu milik untuk kesejahteraan rakyat di seluruh negara. 

Sejajar dengan matlamat kerajaan, pelan ini akan menggalakkan penglibatan rakyat dan perniagaan dalam membangunkan ekonomi digital di Malaysia untuk era Revolusi Industri 4.0, mengurangkan jurang digital serta menyediakan persekitaran kondusif bagi penggunaan teknologi baharu seperti 5G. 

NFCP akan memberi fokus kepada pelaksanaan kesalinghubungan digital yang berteraskan rangkaian gentian optik. Namun demikian, teknologi lain seperti teknologi tanpa wayar dan satelit juga akan digunakan sekiranya lebih sesuai. Dengan cara ini, sejajar dengan konsep Kemakmuran Bersama, kawasan-kawasan luar bandar juga akan dapat menikmati perkhidmatan jalur lebar yang berkualiti dan berkelajuan tinggi. 

Antara sasaran utama NFCP adalah untuk mencapai kelajuan purata 30Mbps di 98% kawasan berpenduduk dan ketersediaan rangkaian gigabit di kawasan-kawasan perindustrian terpilih menjelang tahun 2020 dan semua ibu negeri menjelang tahun 2023. 

Usaha yang komprehensif ini akan meningkatkan daya saing ekonomi negara terutamanya bagi kategori-kategori berikut: 

  1. Ibu negeri dan bandar-bandar utama; 
  2. Kawasan luar bandar dan kumpulan yang kurang diberi perkhidmatan (underserved) untuk merapatkan jurang digital; 
  3. Kawasan berimpak tinggi seperti kawasan perindustrian;
  4. Kawasan liputan mudah alih tanpa sambungan teras gentian optik kepada menara komunikasi (bagi menyokong perkhidmatan 3G, 4G dan 5G); 
  5. Sekolah, hospital, perpustakaan, balai polis dan pejabat pos; 
  6. Komuniti FELDA dan Orang Asli; 
  7. Sektor-sektor seperti industri kecil dan sederhana, pendidikan, kesihatan dan pertanian serta fasiliti pengangkutan utama.

Kos RM21.6 billion bagi pelaksanaan NFCP ini akan melibatkan pelaksanaan projek-projek infrastruktur di kawasan-kawasan sasaran yang dijangka boleh memberi suntikan yang positif kepada ekonomi negara secara langsung terutamanya kepada syarikat pemberi perkhidmatan, kontraktor-kontraktor kecil dan pembekal peralatan. 

Jumlah yang besar ini akan dibiayai melalui peruntukan Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS), yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dan secara komersil oleh syarikat pemberi perkhidmatan. 

Kaedah pembiayaan melalui Kumpulan Wang PPS yang akan dipertimbangkan adalah sama ada dalam bentuk pembiayaan penuh, pembiayaan sepadan (matching fund) atau pembiayaan sebahagian (partial fund) kepada pihak-pihak yang layak. 

Kaedah pembiayaan ini akan membantu mengurangkan modal perbelanjaan syarikat pemberi perkhidmatan dan penjimatan kos tersebut akan memanfaatkan pihak pengguna melalui penyediaan perkhidmatan mampu milik. 

Selaras dengan matlamat kerajaan yang melihat akses kepada internet sebagai satu hak yang penting, projek-projek NFCP juga akan memberi penekanan kepada keseimbangan akses kepada internet di antara penduduk bandar dan luar bandar. Infrastruktur digital yang baharu ini juga akan memberi faedah kepada golongan-golongan yang kurang berpeluang untuk mengambil bahagian dalam ekonomi digital seperti golongan petani, nelayan dan Orang Asli.

Pihak kerajaan melihat NFCP sebagai satu projek infrastruktur yang penting dan juga sebagai satu usaha strategik untuk meningkatkan daya saing negara dan rakyat Malaysia dalam era digital ini. Kerajaan berharap menerusi NFCP, lebih ramai rakyat dan perniagaan akan dapat menikmati faedah dan kelebihan ekonomi digital bukan sahaja di Malaysia dan kawasan perantauan tetapi juga di pentas dunia. 

Antara faedah yang dapat dinikmati oleh rakyat termasuklah perkhidmatan pendidikan secara digital, e-kesihatan dan e-sports. Manakala golongan peniaga pula akan dapat menikmati faedah menerusi e-dagang. Dengan mengunapakai e-dagang, peniaga-peniaga akan dapat menembusi pasaranpasaran baharu di dalam dan di luar negara. 

Secara keseluruhannya, kerajaan berharap bahawa melalui NFCP, taraf kehidupan rakyat akan meningkat dan model perniagaan baharu akan muncul yang akan mengakibatkan lebih peluang pekerjaan yang berpendapatan tinggi. 

Satu Pasukan Petugas Khas yang dipengerusikan oleh KKMM dan dianggotai oleh agensi-agensi berkaitan juga akan ditubuhkan bagi menyelaras penyediaan infrastruktur digital di sekolah, balai polis, hospital dan perpustakaan. 

Pasukan ini juga akan memastikan infrastruktur digital sedia ada dioptimumkan, selain mengurangkan pertindihan (duplication) dan kos dalam pembinaan infrastruktur digital baharu di institusi-institusi terpilih ini. Sekiranya perlu, Pasukan Petugas Khas ini juga akan meneliti keperluan bagi penyediaan infrastruktur di kawasan-kawasan lain, termasuk kaedah-kaedah terbaik dan fleksibel bagi tujuan pelaksanaan tersebut. 

Satu taklimat media dan majlis perasmian projek NFCP dijangka akan diadakan pada pertengahan bulan September. Keterangan yang lebih lanjut akan diberikan di taklimat tersebut. – Roketkini.com