Rencana

Tak kira bangsa, kita semua anak Malaysia

Hari Kebangsaan datang tiap-tiap tahun. Tidak terkecuali tahun ini. Namun, mengapa saban tahun meraikannya, semakin hambar ia dirasai. Seperti kelaziman yang disebut orang, kemeriahan hari raya pun saban tahun semakin kurang terasa apabila kita meningkat dewasa. Seolah-olah semua nikmat kemeriahan ini hanya ada di zaman kita kanak-kanak sahaja. Makin tua, makin hilang seronoknya.

Timbalan Pengerusi DAP cawangan USJ, Nor Miswary Ramli

Ini kerana pada zaman kanak-kanak kita, rakan Cina dan rakan India tidak dipanggil ‘rakan Cina’ atau ‘rakan India’. Mereka hanya kawan kelas, kawan sekampung, kawan mandi sungai, kawan panjat pokok curi buah rambutan, kawan main perang-perang dan kawan main masak-masak. Mereka kita panggil Ah Tong dan Theva, sama seperti kita memanggil Mariam dan Hasan. Kita tidak menyebut Ah Tong rakan Cina saya dan Theva rakan India kita. Mereka bukan Cina, mereka bukan India. Mereka adalah ahli keluarga. Mereka bukan sebahagian daripada Malaysia, mereka dan kitalah Malaysia itu. Perasan inilah yang semakin hilang dalam pesta kemerdekaan kita setiap tahun.

Kita sendiri yang hilangkan apa yang sebenarnya ada pada kita sejak sekian lama — kesatuan hati sebagai rakyat Malaysia tanpa warna bangsa dan perbezaan agama. Kawan saya di kampung, Piong yang bantu ayahnya di kedai basikal akan selalu tanyakan kalau-kalau kami perlu berhenti sekejap bermain perang-perang untuk tunaikan solat bila dia dengar azan berkumandang di surau. Malah Piong tidak pernah pula mainkan watak komunis kalau kami main perang-perang. 

Begitu juga kalau main bola sepak di kampung. Kala selalu bermain di posisi penyerang dalam pasukan bolasepak kampung kami. Setiap kali akan ada latihan di sebelah petang, dia akan cadangkan supaya latihan dibuat selepas solat Asar. Dia hanya dikenali sebagai Kala penyerang dalam pasukan kami dan bukan ‘pemain berbangsa India’ yang bermain di posisi penyerang. 

Di ambang Hari Kemerdekaan yang tinggal beberapa jam sahaja lagi, elok juga kalau kita kenang kembali bagaimana zaman kanak-kanak kita di sekolah, di kantin, di padang bola atau ketika terjun ke dalam sungai. Tiada garis bangsa atau agama yang membezakan kita waktu itu. Inilah erti kemerdekaan yang kita idamkan pada sambutan kali ke-62 tahun ini. Jika saya ada mesin masa untuk mengembalikan zaman kanak-kanak kita, membebaskan jiwa dan menyatukan semula hati kita semua, tanpa ragu-ragu saya pasti melakukannya.

*Nor Miswary Ramli adalah Timbalan Pengerusi DAP cawangan USJ