Rencana

Antara berita palsu dan realiti di lapangan

Semasa dalam perjalanan ke program ini, saya terkenang kepada masa muda saya.

Kewujudan internet membolehkan saya untuk mencari semula sebuah editorial yang saya tulis 62 tahun yang lalu ketika saya menjadi editor majalah kelas III A yang bertajuk Light di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Batu Pahat. 

Di dalam editorial ini, saya telah menulis:

“Malaya telah menjadi sebuah negara yang baru, kini mengambil tempat dan tanggungjawabnya di dalam dunia yang penuh perselisihan. Ia mesti menerima dan menangani semua cabaran, dan satu hari nanti, diiktiraf sebagai salah satu daripada negara hebat dunia. Namun begitu, tokoh-tokoh masa kini yang sedang mengemudi negara kita tidak akan berada bersama kita selama-lamanya. 

“Kita sebagai pemuda masa kini, adalah pemimpin masa depan, yang akan mewarisi tugas dan tanggungjawab untuk mengemudi hala tuju negara, sama ada kearah Utopia atau Kemusnahan. Kita mestilah mempersiapkan diri untuk berkhidmat untuk memimpin. Janganlah kita bazirkan masa kita dengan perbuatan yang sia-sia.

“Peranan sebagai golongan muda di dalam Malaya yang merdeka adalah lebih berat dan sukar untuk dipikul oleh bahu golongan muda generasi kita yang kurang berpengalaman. Kita akan menjadi golongan muda yang pertama yang memikul tanggungjawab ini sebagai negara yang merdeka. Marilah kita berkerja keras dan berazam supaya seluruh dunia boleh mengatakan dan mengiktiraf yang usaha dan tenaga golongan muda Malaya tidak dibazirkan. 

“Untuk mencapai hasrat ini di dalam negara baru yang mempunyai demografi yang pelbagai ini, kita mesti sentiasa ingat bahawa kerjasama antara kaum adalah perkara yang paling penting sekali. 

Itulah yang telah saya tuliskan semasa saya berumur 16 tahun. 

Prinsip ini — kepentingan kerjasama, kesefahaman, toleransi, dan keharmonian antara kaum di dalam negara yang berbilang latar belakang ini — telah menjadi pegangan hidup saya.

Saya mempunyai beberapa program lain di Iskandar Puteri hari ini sempena sambutan Hari Merdeka yang ke-62. Pagi tadi, saya telah memberikan isyarat mula untuk acara Larian Hari Merdeka di Kangkar Pulai yang disertai oleh lebih daripada 2,000 orang. Juga terdapat Pesta Bola yang disertai oleh 32 kumpulan daripada kampung berdekatan dan Konvoi Motosikal Hari Merdeka ke-62. 

Berdasarkan interaksi dengan rakyat di peringkat akar umbi, tidak kiralah sama ada orang Melayu, Cina, ataupun India pada Hari Merdeka ini, kelihatan jelas sekali perbezaan di antara Malaysia yang digambarkan melalui media sosial dengan Malaysia dalam dunia sebenar. 

Persepsi yang dicipta oleh media sosial menggambarkan seolah-olah negara ini kini berpecah-belah pada tahap yang tidak pernah dilihat dalam sejarah negara, seakan-akan negara ini hanya menunggu masa sebelum berlakunya keganasan antara kaum dan agama jika berita palsu dan hasutan yang berlegaran di media sosial ini tidak dikawal secepat mungkin. 

Disebalik gambaran buruk ini, saya dapat lihat di kawasan saya, kesefahaman, keharmonian, dan toleransi di kalangan rakyat Malaysia biarpun daripada orang Melayu, Cina, ataupun India. 

Saya percaya bahawa penting untuk kerajaan membendung penyebaran berita palsu dan hasutan jahat di media sosial yang bertujuan untuk memutar-belit dan meracuni hubungan antara kaum dan antara agama di negara ini dan tindakan tegas untuk mengatasi isu ini harus menjadi keutamaan untuk kerajaan hari ini. 

Saya boleh berikan satu contoh berita palsu yang berlegaran baru-baru ini. 

Kerosakan kepada sistem data Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini telah digunakan untuk menyebarkan berita palsu mengenai kemasukan tiga juta rakyat China ke negara ini, sekaligus mengubah demografik negara. Sedangkan berita ini tidak mempunyai sebarang asas langsung memandangkan proses semakan imigresen masih dijalankan secara manual dan semua pelawat tertakluk kepada prosedur yang telah ditetapkan oleh Jabatan Imigresen. 

Jika tiga juta rakyat China mendarat di KLIA dalam masa tiga hari, ini bermakna secara purata sejuta rakyat China akan mendarat di KLIA setiap hari, menjadikan KLIA lapangan terbang tersibuk di dunia! 

Jika perkara ini benar, ia bermakna KLIA akan menerima lebih daripada 10,000 pesawat setiap hari — perkara ini adalah mustahil untuk berlaku. 

Berita palsu dan hasutan tidak hormat atau pedulikan kebenaran dan atas sebab inilah rakyat Malaysia harus berhati-hati di media sosial supaya kita semua tidak mudah tertipu.

Golongan muda adalah aset yang penting kepada negara, lebih-lebih lagi selepas pindaan kepada Perlembagaan bagi menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun. 

Saya telah menjadi Setiausaha Agung Kesatuan Wartawan Kebangsaan Singapura pada tahun 1962 ketika saya berumur 21 tahun. Pada akhir tahun 1965, saya telah ditarik sepenuh masa ke dalam arena politik negara pada umur 24 tahun dan menjadi Ahli Parlimen (untuk Bandar Melaka) pada tahun 1969 ketika saya berumur 28 tahun. 

Tiga perkara telah berlaku semasa saya ditahan buat kali pertama dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di pusat tahanan Muar. Pertama, saya memulakan pengajian undang-undang di University of London (External) dan saya telah dipanggil ke bar di Lincoln’s Inn, London. Kedua, saya telah belajar untuk membaca dan menulis jawi dengan sendiri. Tetapi, perkara yang ketiga inilah yang telah mengubah hidup saya, mengenai integriti dan kesetiaan kepada prinsip — kata-kata seorang patriot berbangsa Cina:

Siapakah yang boleh mengelakkan kematiannya sejak permulaan zaman?

Biarlah hati saya cekal dengan perjuangan supaya diingati sepanjang zaman.

Malaysia adalah satu titik pertembungan empat tamadun hebat dunia — tamadun Islam, Cina, India, Barat. Saya sentiasa percaya dengan kebolehan Malaysia untuk memanfaatkan nilai-nilai terbaik daripada setiap tamadun ini untuk membina sebuah bangsa dan negara Malaysia — yang boleh dijadikan contoh kepada dunia sebagai bukti kejayaan Perikatan Peradaban.

Ucapan Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri Lim Kit Siang di majlis pembukaan pertandingan debat Piala Lim Kit Siang di Skudai pada hari Sabtu 31 Ogos 2019 jam 12 tengahari.