Berita

Exco Perak kesal kelab sukan guna fitnah sebar agenda sempit boikot

Adun Pasir Pinji, Howard Lee menzahirkan rasa kesal terhadap tindakan gerakan kempen boikot barangan bukan Islam yang menggunakan pendekatan fitnah dalam menyebarkan agenda sempit mereka. 

“Beberapa hari yang lalu, kita melihat bagaimana Econsave Cash & Carry Sdn Bhd menjadi mangsa apabila pasar raya tersebut dituduh tidak lagi menjual barangan keluaran bumiputera Muslim. 

“Setelah laporan polis dibuat, pemfitnah tersebut tampil membuat permohonan maaf atas kesilapan fakta. 

“Ini adalah satu contoh bagaimana kempen boikot didorong oleh manipulasi fakta yang melampau tanpa keabsahan fakta,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Amat duka cita, pemfitnah tersebut merupakan sebuah kelab sukan memanah yang beroperasi di Negeri Perak,” tambahnya yang juga Exco Belia, Sukan & Pembangunan Modal Insan Negeri Perak.

Beliau — dalam kapasiti selaku EXCO Perak — juga akan mengaturkan pertemuan dengan pengurusan kelab berkenaan demi menjaga nama baik persatuan sukan negeri Perak. 

Ketua DAPSY Kebangsaan itu dalam pada itu turut menasihati semua pihak agar tidak memainkan politik cetek yang hanya akan mengeruhkan lagi keadaan. 

“Pesan saya, marilah kita pandang ke hadapan untuk melihat gambaran yang lebih besar iaitu kemakmuran bersama. 

“Usah keruhkan keadaan dengan mainan politik yang cetek. Usaha bina semula negara kita tidak boleh hanya dalam sidang dewan atau pejabat kerajaan, ia juga harus dipupuk di kejiranan kita dan tabiat kita di alam maya,” ujarnya. 

Jemaah menteri dalam kenyataan semalam menyeru rakyat menyokong kempen beli barangan buatan Malaysia yang lebih memberi kebaikan kepada negara berbanding kempen boikot barang keluaran bukan Islam di negara ini. 

“Jemaah Menteri menolak pemikiran dan pendirian sempit berasaskan sentimen perkauman yang cuba dimainkan oleh pihak tertentu kerana ia boleh menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan negara. 

“Sebaliknya rakyat diseru untuk menyokong kempen beli barangan buatan Malaysia kerana ia akan memberi kebaikan kepada negara,” kata kenyataan media yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri. – Roketkini.com