Berita

Rakyat diseru sokong kempen beli barangan buatan Malaysia

Rakyat diseru menyokong kempen beli barangan buatan Malaysia yang lebih memberi kebaikan kepada negara berbanding kempen boikot barang keluaran bukan Islam di negara ini. 

Kabinet dalam mesyuarat semalam bersetuju bahawa kempen boikot seumpama itu adalah sangat tidak wajar dan boleh menjejaskan keharmonian serta kesejahteraan negara. 

“Jemaah Menteri menolak pemikiran dan pendirian sempit berasaskan sentimen perkauman yang cuba dimainkan oleh pihak tertentu kerana ia boleh menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan negara. 

“Sebaliknya rakyat diseru untuk menyokong kempen beli barangan buatan Malaysia kerana ia akan memberi kebaikan kepada negara,” kata kenyataan media yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri. 

Mesyuarat jemaah menteri itu dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. 

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, sebelum ini berkata kempen boikot tersebut boleh menjejaskan keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama negara ini, malah turut memberi kesan terhadap ekonomi tempatan.

“Kita, tanpa mengira warna kulit, melayari bahtera yang sama bernama Malaysia. Jadi saya menyeru semua untuk menghayati slogan ‘Cintai dan Belilah Barangan Buatan Malaysia'”.

“Lupakan boikot berkenaan dan bergerak ke arah perpaduan. Tolak segala hasutan yang mahu memecah-belahkan negara tercinta kita ini dengan sentimen kaum dan agama. Sudah-sudahlah!” katanya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini dilaporkan menggesa agar kempen boikot seumpama itu dihentikan. 

Gerakan itu, katanya, tidak akan berkesan dan hanya akan mencetuskan kemarahan orang lain. 

“Mungkin ada orang yang cetek fikiran yang buat benda macam ini. Tetapi tak berkesan. Boikot itu senjata yang tak berkesan, tak guna buat (perkara) itu.

“(Ia) cuma timbul kemarahan. Jangan boikot barang sesiapa pun, bumiputera atau bukan bumiputera,” katanya.

Berkongsi nada yang serupa, Presiden PKR Anwar Ibrahim pula menyifatkan kempen boikot berkenaan sebagai langkah yang tidak sihat. 

“Kalau mahu promosikan produk halal, itu boleh diterima. Tapi kalau mahu promosikan kempen yang boleh menimbulkan pertengkaran semacam ini, isu-isu antara kaum, ia tak sihat,” katanya. – Roketkini.com