Rencana

Khaled tak suka usaha kerajaan PH jimatkan duit rakyat?

Oleh Sheikh ‘Umar Bagharib Ali

(Ketua DAPSY Johor, Adun Paloh merangkap pengerusi jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi)

Tujuan asal saya menjawab ulasan Khaled Nordin yang terdahulu hanya atas dua perkara, pertama nasihat beliau kepada Lim Kit Siang untuk bersara dan retorik Pakatan Harapan (PH) dalam agenda Malaysia Baharu. Saya telah mengulas dan juga memberi nasihat agar beliau perlu berlaku adil juga untuk menasihati mantan presiden dan presiden beliau untuk bersara atas skandal memalukan itu. Tetapi seperti biasa, beliau tidak mampu memberi nasihat itu. Maka persoalan itu telah saya jawab.

Kedua, mengenai tuduhan beliau bahawa Malaysia Baharu hanya retorik. Perkara ini telah saya jelaskan. Soal dia mahu menerima atau tidak, bukanlah ada upaya saya untuk menentukannya. Tugas saya selesai untuk membantu beliau menerangkan duduk cerita.

Kemudian beliau menjawab kembali penerangan saya. Dari kenyataan beliau, saya hanya mahu mengulas satu isi penting sahaja yang diketengahkan oleh Khaled Nordin berhubung kenyataan saya sebelum ini.

Begini, kejayaan menjimatkan wang rakyat adalah perkara pokok dalam pentadbiran kerajaan PH hari ini. Ini adalah asas bagaimana wang rakyat digunakan (dibelanjakan) secara optimum yakni secara cekap demi mencapai impak terbaik kepada semua pihak.

Dalam ulasan balasnya, Khaled Nordin telah menempelak usaha kerajaan PH yang berjaya menyelamatkan wang rakyat ini. Bagi saya, ini amat menyedihkan. Pertama, beliau seolah-olah tidak suka atau tidak bersyukur apabila wang rakyat dapat dijimatkan (dalam keadaan negara kekurangan dana). Beliau sepatutnya bersyukur kerana kerajaan PH tidak sewenang-wenangnya membiarkan wang rakyat dibazirkan sepertimana yang kerajaan beliau lakukan sebelum ini.

Ya benar, penjimatan ini juga melibatkan rombakan teknikal dalam projek tersebut seperti binaan stesen dan jajaran projek ini. Soalnya, apa masalahnya jika rombakan teknikal yang dilakukan dengan kos yang efektif dan ia masih mengekalkan manfaat kepada rakyat? Mengapa pula ruang yang ada untuk dirombak tetapi tidak dimanfaatkan demi penjimatan berdasarkan keperluan projek itu kepada rakyat?

Khaled Nordin seakan-akan anti penjimatan! Beliau seboleh-boleh mahu mengekalkan rekaan teknikal projek itu sedangkan ianya membazir!

Saya percaya, inilah sikap UMNO selama ini. Gemar membazirkan wang rakyat dengan menggunakan hujah ‘teknikal’ untuk mengabsahkan ketamakkan mereka. Sedangkan banyak lagi ruang untuk kerajaan berjimat-cermat dalam projek ini, malah projek-projek yang lain.

Dalam konsep penjimatan, kita boleh lakukan apa yang munasabah termasuk merombak perkara-perkara teknikal selagi projek itu dapat diteruskan, kos dapat dijimatkan dan nilai faedah kepada rakyat dapat dilaksanakan.

Inilah perkara ‘aula’ pada masa ini. Menurut Qardhawi, prinsip ‘fiqh al-aulawiyat’ itu antaranya ialah bertindak menolak ‘mafsadah’ terlebih dahulu sebelum meraih ‘maslahah’ atau ‘manfaah’. Dalam konteks Malaysia hari ini, membendung kebejatan ekonomi negara hasil peninggalan kerajaan kleptokrat BN adalah suatu keutamaan yang wajib dipandang serius.

Pun begitu, UMNO tidak akan memahami asas ini kerana, projek-projek sebeginilah memberikan peluang keemasan kepada mereka untuk membazirkan wang rakyat atas kerakusan politik.

Lain-lain hujah Khaled Nordin, saya tidak mahu ulas kerana beliau boleh memesan soalan-solan tersebut kepada rakannya dalam dewan negeri atau dewan rakyat untuk ditanyakan secara rasmi. Tidak perlu saya ulas di sini kerana saya mengambil nasihat beliau untuk menumpukan usaha membangunkan negeri dan rakyat Johor. – Roketkini.com