Berita

DAP sambut baik cadangan Agong perhalusi konsep FELDA kepada Orang Asli

Tengku Zulpuri Shah Raja Puji hari ini menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah agar kerajaan memperkemas kaedah membantu masyarakat Orang Asli serta golongan miskin negara ini.

Baginda bertitah demikian ketika mencemar duli melawat perkampungan Orang Asli Sungai Ruil di Cameron Highlands baru-baru ini.

Menurut baginda, konsep Felda boleh diperhalusi dan diperbesarkan kepada kaum Orang Asli serta masyarakat miskin agar mewujudkan sumber jangka panjang generasi seterusnya.

“Saya menyokong saranan bernas daripada Tuanku bahawa kebajikan serta taraf kehidupan Orang Asli mesti diberi perhatian oleh kerajaan melalui pelbagai pendekatan,” kata Tengku Zul kepada Roketkini.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan itu berkata, masanya sudah tiba agar kerajaan memberi perhatian khusus membangunkan ekonomi masyarakat Orang Asli. 

“Saranan Tuanku amat tepat pada masanya demi menaikkan taraf hidup masyarakat Orang Asli dan golongan miskin di negara ini.”

Selain konsep FELDA, Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli itu menambah, kerajaan juga boleh memberi pendedahan dan latihan komprehensif bagi kegiatan pertanian kepada Orang Asli.

“Saya melihat, banyak lagi usaha yang boleh dikembangkan seperti menggalakkan aktiviti pertanian secara komersil misalnya penanaman padi bukit, penternakan ikan dalam sangkar, ayam kampung dan seumpamanya,” kata beliau.

Ujarnya, kepelbagaian sumber ekonomi  akan menjamin masa depan dan taraf hidup  masyarakat Orang Asli seiring perubahan zaman. – Roketkini.com